Inul sedih lihat tanah air bergolak

KUALA LUMPUR: Penyanyi dangdut terkenal Indonesia, Inul Daratista tidak dapat menyembunyikan kesedihan apabila tanah kelahirannya dilanda kemelut politik sehingga menjejaskan kehidupan rakyat, termasuk dirinya.

Inul atau nama sebenarnya, Ainul Rokhimah, 46, mengakui situasi itu bukan sahaja merencatkan banyak aktiviti, malah memberi kesan kepada lebih 5,000 pekerja yang bergantung rezeki pada empayar perniagaannya.

“Sebagai rakyat, saya turut merasa kesedihan. Banyak urusan terjejas, terutama perniagaan saya yang mempunyai ribuan pekerja. Mereka juga terkena tempias akibat demonstrasi.

“Saya tidak turun berdemo, namun tetap mengikuti rapat perkembangan politik di tanah air. Alhamdulillah, keadaan kini semakin reda dan saya berdoa agar Indonesia segera kembali aman,” katanya ditemui pada sidang media Konsert Inul Daratista Live in Malaysia Millennial Dangdut Nusantara di Hard Rock Cafe, di sini, hari ini.

Lebih menyedihkan, kata penyanyi yang terkenal dengan goyang gerudi itu, beberapa rakan rapatnya yang juga ahli dewan perwakilan rakyat (DPR) turut terpalit dengan krisis terbabit.

“Saya serba salah kerana mereka adalah kenalan. Ada yang digantung tugas, malah ada juga yang dipecat. Semoga apa yang berlaku menjadi pengajaran dan iktibar buat semua,” katanya lagi.

Namun di sebalik resah dan luka di tanah air, Inul membawa khabar gembira buat peminat Malaysia.

Selepas hampir 20 tahun, penyanyi dangdut sensasi itu bakal kembali menggoncang pentas tempatan menerusi konsert berskala besar pada 6 Disember depan di Setia Spice Arena, Pulau Pinang.

Konsert anjuran Fajar Baiduri Empire dengan sokongan Istana Budaya itu lebih istimewa apabila Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) pimpinan Mohd Yazid Zakaria, bersama 18 pemuzik dan 12 penari ArtisTana, akan mengiringi persembahan.

Turut memeriahkan pentas ialah penyanyi dangdut popular tanah air, Amelina dan Baby Shima, sekali gus menyatukan tiga generasi penghibur dalam satu malam penuh warna.

“Sudah terlalu lama saya menanti peluang ini. Hati saya rindu dengan aura penonton Malaysia yang sangat bersemangat. Kehangatan itulah yang membuatkan saya mahu segera kembali,” katanya.

Inul kali terakhir tampil dengan konsert berskala besar di Malaysia pada 2007 menerusi Konsert Rentaq Serantau di Stadium Malawati, Shah Alam bersama barisan legenda seperti Datuk Amy Search, Ella dan Radja.

Sebelum itu, penyanyi Goyang Inul itu pernah menggegarkan Stadium Merdeka menerusi Konsert Fenomena Dangdut pada 2005, selain membuat persembahan istimewa di Genting Highlands pada 2006. – BH

More From Author

Prabowo rombak 5 kementerian utama

Zizi Kirana kecewa penyertaan wanita ke Gaza terus dipertikai