Indonesia berisiko banjir besar hingga Februari 2026

JAKARTA: Indonesia dijangka mengalami musim hujan yang lebih panjang berbanding biasa tahun ini, sekali gus meningkatkan risiko banjir dan hujan lebat di banyak kawasan, menurut ramalan Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG).

Ketua BMKG, Dwikorita Karnawati, berkata musim hujan di kepulauan itu bermula bulan ini dan berakhir April 2026.

Beliau berkata tempoh kemuncak musim hujan dijangka bermula pada November dan Disember tahun ini bagi pulau Sumatera dan Borneo, manakala Jawa, Sulawesi, Maluku dan Papua akan mengalami kemuncak musim hujan dari Januari hingga Februari 2026.

“Kita mesti berhati-hati kerana kemuncak musim hujan agak panjang dan berlaku di hampir semua kawasan di Indonesia,” katanya pada sidang media, menurut The Jakarta Post yang memetik laporan Reuters.

Sementara itu, Timbalan Ketua BMKG bagi meteorologi, Guswanto berkata risiko banjir adalah tinggi antara November tahun ini hingga Februari tahun depan.

Menurut Dwikorta, agensi itu juga memberi amaran mengenai hujan lebat dalam tempoh singkat, yang mana beberapa kawasan boleh menerima jumlah hujan bersamaan sebulan dalam satu hari.
Bali baru-baru ini mengalami hujan lebat dalam dua hari yang bersamaan hujan sebulan, menyebabkan banjir di Denpasar dan enam kawasan lain.

Bencana itu mengakibatkan sekurang-kurangnya 19 kematian dan lebih 500 orang dipindahkan.

BMKG menegaskan kejadian di Bali menjadi amaran untuk bersedia menghadapi kemuncak musim hujan yang lebih panjang.

“Kita mesti bersedia menghadapi apa yang akan berlaku semasa kemuncak musim hujan berdasarkan apa yang berlaku di Bali sebelum tempoh kemuncak,” kata Dwikorita.

Sebelum ini, BMKG juga meramalkan musim kering tahun ini lebih pendek daripada biasa kerana jumlah hujan yang tinggi. – AGENSI

More From Author

Suspek tembak Charlie Kirk enggan beri kerjasama kepada pihak berkuasa

Aziz M Osman, anak perempuan tarik diri selepas 4 minggu berjuang dalam program realiti