Hamzah penyokong nombor satu pertahankan Muhyiddin

SHAH ALAM: Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menegaskan menjadi penyokong nombor satu yang akan mempertahankan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Kenyataan itu dikeluarkan Hamzah yang juga ketua pembangkang ketika dakwaan muncul mengaitkan dirinya dengan satu gerakan yang mahukan supaya Muhyiddin berundur.

Berucap pada penggulungan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) BERSATU 2025 di sini hari ini, Hamzah sebaliknya menjelaskan tidak wujud ‘si kitol’ atau pengkhianat dalam BERSATU.

“Tan Sri (Muhyiddin) percayakan saya. Kami sayangkan parti. Kalau mahu pecat (saya), ke mana saya mahu pergi. Ini parti terakhir saya sampai mati. Saya lakukan banyak usaha demi kepentingan parti dan presiden.

“Janganlah dianggap kita sebagai pengkhianat. Apa lagi khianat. Saya bukan pengkhianat tapi mahu jadi seorang sahabat yang duduk sebelah presiden. Adik kepada presiden. Orang suruhan kepada presiden. Yang penting kita menang pilihan raya, di mana kita boleh tentukan masa depan kita,” katanya.

Beliau mengulangi gesaan bahawa amalan surat layang dan cucuk-mencucuk pemimpin dalam parti itu mesti dihentikan.

“Kita sayangkan presiden. Hidup Tan Sri!. Ini ada surat layang yang kata macam-macam dalam kalangan kita. Dalam perasmian (PAT) jangan ada budaya yang tak baik masuk dalam parti kita.

“Saya mahu beritahu ‘si kitol’ yang ada adalah mereka yang khianat kepada agama dan bangsa. Mereka bukan dari kalangan kita. Sudah-sudahlah, cukup-cukuplah,” katanya.

Selepas berakhir menyampaikan ucapannya, Hamzah turut dilihat memeluk erat Muhyiddin di pentas utama, sambil diiringi tepukan gemuruh dalam kalangan perwakilan BERSATU.

Terdahulu memulakan ucapannya, Hamzah berkata, Muhyiddin memerlukan dokongan semua ahli dan pemimpin BERSATU untuk memimpin parti menuju kemenangan dalam PRU16.

“Tan Sri (Muhyiddin) perlukan kita semua. Kita semua yang ada di sini, janganlah lihat nombor satu atau dua lagi. Lihat kita semua di mata ahli BERSATU di seluruh negara.

“Jangan cucuk mencucuk, yang jadi masalah kita hari ini adalah, kerana ada orang yang belum tahu apa-apa, cuba cucuk. Apa yang belum tahu depan belakang, cucuk.

“Ini bukan budaya kita. Kita tak ada budaya cucuk ‘mencucuk. Budaya kita angkat martabat presiden dan parti kita,” katanya. – BH

More From Author

Lelaki maut dirempuh, basikal tergantung atas pokok

BERSATU lulus usul namakan Muhyiddin PM ke-11