KUALA LUMPUR: Penyanyi, Dayang Nurfaizah, menzahirkan rasa syukur dan terharu apabila projek album Belagu II terbitan komposer tersohor, Aubrey Suwito, diumumkan pemenang kategori Album Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-24, Sabtu lalu.
Menerusi hantaran video di Instagram (IG), Dayang atau nama sebenarnya, Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 44, berkongsi kegembiraan itu sambil menyampaikan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang terbabit dalam penghasilan album berkonsepkan irama tradisional berkenaan.
“Saya bersyukur sangat, rasa terharu. Terima kasih kepada AIM dan semua yang terbabit menjayakan album Belagu ll, terutama Aubrey Suwito kerana sudi bekerjasama dengan saya.
“Ini kali kedua (kerjasama dengan Aubrey) selepas Belagu. Alhamdulillah usaha kita membuahkan hasil. Saya sangat bersyukur, kita berjaya melakukannya,” katanya sambil menggenggam trofi kemenangan.
Kemenangan dalam kategori utama itu melayakkan Dayang dan Aubrey membawa pulang Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM200,000.
Belagu II turut menewaskan empat lagi pencalonan hebat iaitu Janji (Dayang), Imaji (Aina Abdul), Imaji Deluxe Edition (Aina Abdul) dan SITISM (Datuk Seri Siti Nurhaliza).
Selain Album Terbaik, Dayang dan Aubrey turut menggondol trofi Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu (Semua Bahasa) menerusi karya Rindu Menyapa.
Dilancarkan pada 2023, Belagu 2 adalah kesinambungan projek Belagu (2021) yang menghimpunkan karya klasik Melayu dengan nafas segar.
Album ini merakamkan sembilan lagu, termasuk Nak Dara Rindu, Menanti Di Ambang Syurga, Ketipang Payung, Jauh Di Mata, Mengapa Dirindu, Sejak Ku Bertemu Padamu, Dari Hati Ke Hati, Umpan Jinak Di Air Tenang dan Rindu Menyapa. – BH