Country Garden, Oriental Holdings bekerjasama teroka penjagaan kesihatan di Forest City

ISKANDAR PUTERI: Country Garden Pacificview Sdn. Bhd., (CGPV) dan Oriental Holdings Berhad menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka pembangunan, pembinaan dan operasi sebuah kemudahan penjagaan kesihatan di Forest City.

Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan, Oriental Holdings Berhad, Datuk Seri Tan Hui Jing berkata, nilai pelaburan bagi pembangunan yang dicadangkan itu dijangka mencecah RM750 juta

“Ini mencerminkan komitmen kukuh dalam menjadikan Forest City sebagai destinasi penjagaan kesihatan serantau.

MD. OTHMAN Yusof (dua dari kiri) dan Tan Hui Jing (dua dari kanan) menandatangani dokumen kerjasama sambil disaksikan oleh Ling Tian Soon (belakang) pada Majlis Menandatangani MoU antara Country Garden Pacificview Sdn. Bhd., dan Oriental Holdings Berhad di Forest City, Iskandar Puteri.

“Kemudahan penjagaan kesihatan yang dirancang ini bakal menawarkan pelbagai perkhidmatan komprehensif, termasuk rawatan perubatan dan pembedahan dalam pelbagai bidang kepakaran seperti onkologi, geriatrik, perubatan pernafasan, pembedahan kolorektal, bedah saraf serta pembedahan ortopedik.

“Ia juga akan menempatkan pusat diagnostik makmal dan pengimejan canggih, pusat rawatan kanser serta program kesejahteraan dan pemulihan,” katanya selepas Majlis Menandatangani MoU tersebut, di sini hari ini.

MoU tersebut ditandatangani oleh Hui Jing dan Pengarah Eksekutif Country Garden Pacificview Sdn Bhd., Datuk Md. Othman Yusof serta disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon.

Direka bentuk dengan penekanan terhadap inovasi, keselesaan pesakit dan kecemerlangan klinikal, projek berkenaan menyasarkan untuk menarik kehadiran pesakit tempatan dan antarabangsa, sekali gus menyumbang terhadap pertumbuhan pelancongan perubatan di negeri Johor.

MoU bwrkenaan juga menandakan langkah strategik kedua-dua pihak untuk memanfaatkan kepakaran dan kekuatan masing-masing dalam memacu pembangunan berimpak tinggi di kawasan Iskandar Malaysia.

Kemudahan penjagaan kesihatan itu akan direka bentuk untuk memenuhi keperluan bukan sahaja rakyat Malaysia, malah pelanggan dari Singapura dan antarabangsa, sekali gus menjadikan Forest City sebagai destinasi pilihan bagi perkhidmatan perubatan dan kesejahteraan yang berkualiti.

Dalam pada itu, Md. Othman memberitahu, projek tersebut juga bertujuan merangsang ekonomi tempatan menerusi pewujudan peluang pekerjaan di samping meningkatkan penawaran gaya hidup sihat dan berkualiti di Forest City.

“Kami percaya bahawa penjagaan kesihatan yang berkualiti haruslah mudah diakses dan berpandangan jauh. Kerjasama ini membolehkan kami membawa perkhidmatan penting lebih dekat kepada komuniti sambil mewujudkan peluang pekerjaan dan kesejahteraan yang bermakna untuk penduduk setempat.

“Dengan inisiatif ini, Forest City memperkukuhkab daya tarikannya sebagai destinasi bernilai tinggi yang berhubung baik untuk penjagaan kesihatan dan kesejahteraan. Kami yakin kerjasama ini akan membuka ruang bagi pelaburan serantau serta sinergi rentas sempadan,” katanya. – Majestic

More From Author

Inkues: Kecederaan di kepala Zara Qairina mungkin akibat objek tumpul

Postecoglou ganti Nuno bimbing Nottingham Forest