TUNIS: Sebuah kapal utama dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza didakwa diserang oleh dron di sebuah pelabuhan di Tunisia, hari ini.
Menurut kenyataan GSF, bagaimanapun kesemua enam penumpang dan anak kapal dilaporkan selamat.
“Kapal berdaftar di bawah bendera Portugal itu membawa jawatankuasa pemandu flotila dan mengalami kerosakan teruk akibat kebakaran di dek utama dan ruang simpanan bawah dek,” menurut kenyataan dari GSF.
Namun, Kementerian Dalam Negeri Tunisia menafikan laporan itu dan menyatakan bahawa tiada serangan berlaku di pelabuhan Sidi Bou Said, sebaliknya mendakwa kebakaran berpunca dari dalam kapal itu sendiri.
Sebuah video yang dimuat naik oleh GSF di platform X menunjukkan detik Bot Family diserang dari udara, memperlihatkan satu objek terbang bercahaya mengenai kapal itu diikuti asap tebal.
Selepas kejadian itu, puluhan orang berkumpul di luar pelabuhan Sidi Bou Said sambil mengibarkan bendera Palestin dan melaungkan slogan ‘Bebaskan Palestin’.
Flotila ini adalah inisiatif antarabangsa yang bertujuan untuk memecahkan sekatan laut Israel dan menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza menggunakan kapal awam yang disokong oleh delegasi dari 44 negara termasuk aktivis iklim Sweden, Greta Thunberg dan ahli politik kiri Portugal, Mariana Mortagua.
Pada Jun lalu, tentera laut Israel turut menahan sebuah kapal layar berdaftar di Britain yang membawa Greta Thunberg dan beberapa yang lain yang didakwa sebagai gimik propaganda yang menyokong Hamas.
Israel mengenakan sekatan laut ke atas Gaza sejak kumpulan Hamas menguasai wilayah itu pada 2007, dengan alasan untuk menghalang penyeludupan senjata kepada kumpulan itu.
Sekatan itu masih berkuat kuasa ketika perang semasa yang bermula selepas serangan Hamas ke atas selatan Israel pada Oktober 2023.
GSF memaklumkan bahawa siasatan terhadap dakwaan serangan dron sedang dijalankan dan hasil siasatan akan diumumkan sebaik sahaja diperoleh.
“Tindakan agresif yang bertujuan untuk menakut-nakutkan dan menggagalkan misi ini tidak akan menghalang usaha kami.
“Misi aman kami untuk memecahkan sekatan ke atas Gaza dan menyatakan solidariti bersama rakyatnya akan diteruskan dengan tekad dan iltizam,” kata GSF dalam satu kenyataan.
Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi wilayah Palestin yang dijajah, Francesca Albanese, yang turut berada di pelabuhan berkata, mereka tidak tahu siapa yang melakukan serangan itu.
“Tetapi tidak mengejutkan sekiranya ia dilakukan oleh Israel. Jika disahkan, ia adalah satu pencabulan terhadap kedaulatan Tunisia,” katanya.
Tiada sebarang kenyataan dikeluarkan dari pihak Israel setakat ini. – REUTERS