SEREMBAN: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Datuk Mohamad Razi Kail, meninggal dunia di kediamannya di Taman Guru Melayu di sini, hari ini.
Allahyarham, 61 tahun dilaporkan meninggal dunia pada jam 9.04 pagi akibat komplikasi penyakit hati.
Berita pemergian Allahyarham disahkan oleh Timbalan Ketua UMNO Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan, yang turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga.
“Innalillahiwainnailaihirojiun… dimaklumkan bekas YB DUN Juasseh, Datuk Mohamad Razi Kail telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi.
“Jenazah dibawa ke masjid sekitar 11.45 pagi untuk dimandikan, dikafankan dan disolatkan, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang selepas solat Zohor,” katanya ketika dihubungi.
Adnan berkata, kali terakhir bertemu beliau adalah di majlis perkahwinan anaknya yang mana Allahyarham ketika itu berkerusi roda.
“Allahyarham dikenali ramai sebagai seorang tokoh masyarakat yang berperwatakan lembut, bersederhana dan mudah didekati.
“Saya telah mengenali beliau sebelum kami menceburi dunia politik,” katanya. – BH
