ATHENS: Penganjur flotila menuju Gaza membawa bantuan dan aktivis pro-Palestin mendakwa mereka mendengar letupan serta melihat beberapa dron menyasarkan sebahagian bot mereka yang ketika itu berada di perairan Greece.
“Pelbagai dron, objek tidak dikenali digugurkan, komunikasi diganggu dan letupan kedengaran dari beberapa bot.
“Kami menyaksikan operasi psikologi ini secara langsung sekarang, tetapi kami tidak akan gentar,” kata Global Sumud Flotilla dalam satu kenyataan tanpa menjelaskan sama ada terdapat mangsa.
Aktivis hak asasi manusia Jerman yang juga anggota flotila, Yasemin Acar, dalam satu video di Instagram berkata lima vesel telah diserang.
“Kami hanya membawa bantuan kemanusiaan. Kami tiada senjata. Kami tidak mengancam sesiapa. Israel yang sedang membunuh ribuan orang (dan) membiarkan seluruh penduduk kebuluran,” katanya.
Dalam video terdahulu, Acar berkata mereka ‘melihat 15 hingga 16 dron’ selain mendakwa radio mereka diganggu dengan bunyi muzik yang amat kuat.
Satu video di laman rasmi Instagram flotila itu menunjukkan letupan yang didakwa dirakam dari bot Spectre pada ’01:43 (GMT +3)’.
Video lain memaparkan aktivis Brazil, Thiago Avila, berkata empat bot telah ‘disasarkan dengan dron yang menggugurkan peranti’ sebelum satu lagi letupan kedengaran.
Global Sumud Flotilla berlayar dari Barcelona awal bulan ini dengan matlamat memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza dan menghantar bantuan ke wilayah itu.
Ia kini merangkumi 51 vesel, kebanyakannya berada di perairan pulau Crete, Greece.
Flotila itu sebelum ini disyaki diserang dron sebanyak dua kali di Tunisia ketika botnya berlabuh sebelum meneruskan pelayaran ke Gaza.
Antara peserta terkenal flotila itu ialah aktivis alam sekitar Greta Thunberg.
Israel pada Isnin menegaskan ia tidak akan membenarkan bot-bot berkenaan sampai ke Gaza.
Israel sebelum ini menggagalkan dua percubaan aktivis ke Gaza melalui laut pada Jun dan Julai lalu.
Israel kini berdepan tekanan antarabangsa besar berhubung peperangan di Gaza yang mencetuskan krisis kemanusiaan teruk di wilayah Palestin itu.
Bulan lalu, sebuah badan disokong PBB secara rasmi mengisytiharkan kebuluran di sebahagian Gaza.
Pada 16 September, penyiasat PBB menuduh Israel melakukan genosid di wilayah terkepung itu, hampir dua tahun selepas perang tercetus susulan serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 terhadap Israel. – AFP