KUALA LUMPUR: Penyanyi popular, Aina Abdul, tidak berkecil hati dengan kenyataan penyanyi Atilia Haron yang mempertikaikan keputusan Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-24, baru-baru ini.
Menghormati pandangan rakan seindustri, Aina bagaimanapun menjelaskan dirinya tidak bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan.
“Sebelum ini, ada saja penyanyi yang menyanyikan lagu santai dinobatkan sebagai pemenang, jadi saya memang tidak setuju dengan kenyataan itu.
“Lagipun, seperti dikongsikan guru vokal, Sarah Ismail di akaun TikTok, barisan juri AIM terdiri daripada nama besar dan berpengaruh dalam industri. Jadi apabila isu vokal dipertikaikan, seolah-olah kredibiliti juri juga turut dipersoalkan.
“Saya bukan sekadar menjerit nota tinggi. Saya ada latar belakang pembelajaran vokal dan setiap persembahan dibuat dengan ilmu, bukan sembarangan,” katanya ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu, Sesaat, di sini, hari ini.
Menurut Aina, kemenangan dalam kategori Vokal Wanita Terbaik di AIM 24 sudah dijangka akan menimbulkan perdebatan memandangkan kemenangannya di beberapa anugerah sebelum ini turut sering dipersoalkan.
Namun, penyanyi yang juga Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-36 itu tidak menyangka isu berkenaan diperbesar sehingga mencetuskan polemik.
“Saya sudah menjangka perkara ini akan timbul, lebih-lebih lagi selepas pengalaman menyertai Anugerah Juara Lagu (AJL).
“Cuma saya tidak sangka ia akan menjadi sebesar ini. Saya harap isu ini segera reda kerana saya tidak mahu rasa janggal berhadapan dengan orang ramai,” ujarnya.
Selain kategori Vokal Wanita Terbaik, Aina turut membawa pulang tiga lagi trofi iaitu Lagu Terbaik dan Lagu Pop Terbaik menerusi Jangan Mati Rasa Itu, serta Rakaman Album Terbaik untuk album Imaji Deluxe Edition.
Terdahulu, Atilia mencuri perhatian selepas memuat naik hantaran di media sosial membandingkan industri tempatan dengan penyanyi antarabangsa seperti Norah Jones dan Sade yang berjaya memikat dunia tanpa perlu menyanyi dengan vokal tinggi.
“Kalau Norah Jones jadi penyanyi di Malaysia, adakah dia akan menang anugerah? Tidak, sebab dia tidak menjerit ketika menyanyi. Sama juga dengan Sade,” tulisnya.
Bagaimanapun, hantaran berkenaan sudah dipadam. Meskipun tidak menyebut nama, rata-rata netizen mengaitkan kenyataan itu dengan kejayaan besar Aina di AIM 24 yang berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands, baru-baru ini. – BH