ALOR SETAR: Lapan cedera selepas sebuah bot pelancong dinaiki mereka terbalik ketika aktiviti parasailing atau luncur layar di Langkawi, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Samsulmuddin Sulaiman, berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian bot terbalik di kawasan Pantai Tengah pada jam 1.15 tengah hari tadi.
“Bot membawa enam pelancong, tiga lelaki dewasa, dua wanita dan seorang kanak-kanak lelaki serta dua kru bot. Semasa kejadian, terdapat pelancong sedang melakukan aktiviti parasailing, namun berjaya diturunkan dengan selamat.
“Kejadian dipercayai berlaku akibat angin kuat dan semua mangsa diselamatkan orang awam di sekitar lokasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, maklumat awal menunjukkan tiada mangsa mengalami kecederaan serius dan mereka kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Maliha. – BH