ALOR SETAR: UMNO menganggap usul MIC Kedah mahu bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) sebagai isyarat jelas parti itu tidak lagi mahu bersama dalam perjuangan membina kekuatan politik Barisan Nasional (BN).
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaifuk Hazizy Zainol Abidin, berkata pihaknya mengambil maklum keputusan MIC Kedah meluluskan usul untuk bekerjasama dengan PN di negeri ini.
Katanya, BN Kedah tidak pernah gentar dengan sebarang perubahan landskap politik, apatah lagi jika membabitkan jalan perpisahan dengan mana-mana parti komponen.
“Sejarah membuktikan BN Kedah mampu berdiri teguh, bergerak ke hadapan dan terus mendapat mandat rakyat, walaupun tanpa bantuan mereka yang memilih untuk berpaling arah.
“MIC Kedah bebas membuat pilihan politik sendiri. Namun, biarlah jelas kepada semua apabila pintu ini dibuka untuk keluar, jangan pula suatu hari nanti datang menuntut ruang, kerusi atau keistimewaan dalam BN setelah mengangkat tangan menyokong pihak lawan.
“Kesetiaan bukan barang mainan yang boleh digadai pada musim pilihan raya dan ditebus kembali apabila keadaan mendesak,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Shaifuk Hazizy berkata, pihaknya tidak akan merayu, tidak akan berkompromi dan tidak akan mengemis sokongan daripada mereka yang sudah membuat pilihan.
Jelasnya, beliau yakin MIC Kedah sudah membuat perkiraan yang dianggap sebagai masa depan politik terbaik parti itu untuk ‘menambah’ kerusi pada pilihan raya akan datang.
“BN Kedah pula akan terus bergerak, membina kekuatan sendiri dan memastikan mandat rakyat tetap terpelihara.
“Bagi kami, kehilangan rakan yang tidak lagi sehaluan bukanlah kerugian, ia sebenarnya peluang untuk BN Kedah bergerak lebih laju, lebih fokus dan tanpa beban menjaga hati mereka yang sudah tidak bersama,” katanya.
Semalam, Pengerusi MIC Kedah, SK Suresh dilaporkan mengumumkan parti itu meluluskan usul untuk bekerjasama dengan PN serta tidak menolak kemungkinan untuk keluar daripada BN.
Bagaimanapun, beliau menegaskan keputusan muktamad mengenai perkara itu akan ditentukan kepemimpinan pusat MIC yang kini diterajui Presidennya, Tan Sri S A Vigneswaran. – BH
