United ‘juara’ nilai pelaburan terburuk di EPL

MANCHESTER: Manchester United kini memegang gelaran sebagai kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan nilai pelaburan terburuk dan dua lagi kelab gergasi EPL turut mengalami kerugian besar.

Tekanan kembali memuncak ke atas Ruben Amorim terutama selepas perbelanjaan musim panas yang mencecah RM1.1 bilion tetapi pasukannya masih belum mencatat kemenangan pada musim ini.

Namun begitu, kelab ini sudah lama dikritik kerana gagal mendapatkan nilai sebenar daripada pemain yang ditandatangani malah turut didakwa sebagai punca kemerosotan kerjaya beberapa pemain muda yang dahulunya berbakat besar.

Kini, dakwaan itu seolah-olah disokong oleh data daripada pakar statistik.

Menurut laman Transfermarkt, United berada di kedudukan tercorot dalam carta yang membandingkan kos pembentukan skuad berbanding nilai semasa skuad kelab-kelab EPL.

Kos pembinaan skuad United dianggarkan berjumlah RM6.26 bilion tetapi nilainya kini hanyalah RM4.63 bilion.

Ini membawa kepada kerugian sebanyak RM1.83 bilion – menjelaskan mengapa kelab terpaksa menerima tawaran diskaun untuk menjual pemain yang tidak lagi dikehendaki seperti Jadon Sancho dan Antony.

United sudah menurunkan harga mereka secara drastik di mna Sancho, yang dibeli dari Borussia Dortmund dengan harga RM145 juta pada Julai 2021 kini mungkin dijual serendah RM96 juta sahaja.

Mereka juga dijangka mengalami kerugian jika menjual Rasmus Hojlund, Antony, dan Tyrell Malacia manakala Chelsea pula masih belum bersetuju dengan penilaian United terhadap Alejandro Garnacho.

Namun, United bukan satu-satunya kelab yang mengalami kerugian besar.

Chelsea sudah membelanjakan sekitar RM6.83 bilion untuk skuad mereka tetapi nilai semasanya kini hanya RM5.69 bilion – kerugian sebanyak RM1.3 bilion.

West Ham berada di tempat ketiga terbawah dengan perbezaan RM358 juta manakala Bournemouth hanya sedikit lebih baik dengan perbezaan RM219 juta.

Arsenal berada di tempat teratas dengan keuntungan sebanyak RM1.8 bilion selepas membelanjakan RM4.7 bilion untuk membentuk skuad yang kini bernilai RM6.26 bilion.

Brighton, yang terkenal dengan strategi pembelian pemain yang bijak, berada di tempat kedua dengan keuntungan sebanyak RM859 juta.

Manchester City pula membelanjakan RM5.62 bilion tetapi nilai semasa skuad mereka kini mencecah RM6.26 bilion. – AGENSI

More From Author

Sultan Pahang titah semua masjid, surau di Pahang laksana solat hajat tolak bala

Taylor Swift umum bertunang dengan Travis Kelce