Tunku Mahkota Ismail ‘tulang belakang’ Arif Aiman

KUALA LUMPUR: Peranan yang dimainkan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi antara faktor penyumbang terbesar berjaya meletakkan Arif Aiman Hanapi sebagai pemain terbaik Malaysia ketika ini.

Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards menjelaskan semua pihak boleh melihat bagaimana perjalanan karier Arif Aiman terus berkembang setiap masa, malah mampu bersaing dengan pemain lain termasuk bintang import.

Edwards berkata, ia adalah hasil daripada bimbingan, latihan dan pendedahan yang diperoleh bintang sensasi berusia 23 tahun itu bersama JDT terutama bersaing di peringkat tertinggi seperti Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).

Katanya, seluruh rakyat Malaysia seharusnya berbangga dapat melihat pemain tempatan seperti Arif Aiman berjaya menempatkan dirinya dalam kalangan pemain terbaik di rantau Asia.

“Arif Aiman sentiasa bermain dengan cemerlang dan saya berasa dia seorang pemain yang seluruh Malaysia boleh banggakan. Semua bakat terbaik yang kelab ada, bakat terbaik yang pernah kami ada, bagi saya dia adalah pemain terbaik.

“Kami bersaing dengan pasukan terbaik di seluruh rantau ini, jadi dia berpeluang mencabar dirinya dalam perlawanan sebegitu. Kami kini juga beraksi dalam Kejohanan Kelab ASEAN, jadi ada lebih banyak peluang untuknya.

“Dia sudah lama bersama kami, berada dalam akademi kami sejak usia yang muda. Setiap tahun, semua orang boleh lihat dia semakin meningkat. Itu kerana mengenai latihan dan juga pengurusan terbaik Tunku Mahkota Ismail dalam membimbingnya,” katanya.

Arif Aiman yang juga ‘graduan’ daripada Akademi Mokhtar Dahari menyertai JDT pada 2018 dengan karier terus berkembang selepas itu terutama apabila dia berjaya menembusi skuad senior Harimau Selatan.

Malah, bintang muda itu sudah menjulang semua trofi dalam Liga Malaysia (Liga M) bersama JDT selain mencipta sejarah pemain pertama memenangi anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) empat kali berturut-turut sejak 2021.

Kualiti tinggi yang dimiliki Arif Aiman diiktiraf semua pihak dengan dia juga terus menjadi tonggak penting pasukan kebangsaan meskipun terpaksa bersaing hebat dengan pemain warisan dalam skuad Harimau Malaya. – BH

More From Author

Walau uzur Mat Sentul masih ceria hiburkan tetamu

Pemain warisan Malaysia cemerlang julang Alaves