KUALA LUMPUR: Pelawak dan usahawan, Shuib mengesahkan kereta jenis Toyota CHR berwarna kuning miliknya yang ditunda Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), kelmarin, berpunca daripada kesalahan meletak kenderaan.
Shuib atau nama sebenar, Shahmira Muhamad, 41, berkata, dia tidak berniat memanjangkan isu itu memandangkan kenderaan terbabit sudah ditemui dalam keadaan baik.
“Kereta itu sebenarnya ‘misplaced’ (salah letak) sahaja, tak ada isu besar pun. Saya tak mahu panjangkan cerita.
“Sekarang kereta sudah dapat, cuma saya tak ingat di seksyen berapa. Mamat (rakan) yang beritahu kereta itu ada di MBSA,” katanya ditemui pada sidang media program Talk To My Manager, di sebuah hotel di sini, hari ini.
Mengulas tindakan orang ramai yang membantu mencari kenderaannya, Shuib memuji keprihatinan rakyat Malaysia yang disifatkan sentiasa ringan tulang apabila berlaku insiden sebegini.
“Orang nak tolong carikan sebab rakyat Malaysia memang prihatin.
“Bagi yang beri pelbagai andaian atau kecaman itu, saya hadap sahaja. Tak ada masalah pun. Kereta itu pun hanya untuk hantar anak ke sekolah,” ujarnya
Kelmarin, Shuib memaklumkan melalui Instagram bahawa keretanya ‘hilang’ di sebuah kawasan parkir di Shah Alam, sebaik selesai berurusan di Mahkamah Shah Alam.
Ketika itu, dia tidak pasti sama ada kenderaan itu ditarik atau dicuri, lalu meminta bantuan orang ramai mengesan keretanya. – BH
