KUALA LUMPUR: Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) BERSATU, Muhammad Hilman Idham dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan menimbulkan kegentaran awam melalui kenyataan dimuat naik di akaun Tiktok, bulan lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia itu didakwa di hadapan Majistret Amira Abd Aziz mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dia dituduh membuat kenyataan di akaun Tiktok ‘alfah.channel.tv’ yang mungkin menimbulkan kegentaran awam yang boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Video TikTok itu memaparkan ucapan Muhammad Hilman ketika Himpunan Malam Solidariti Tolak Akta Hasutan pada 29 Julai lalu, yang dianjurkan bagi membantah penggunaan Akta Hasutan 1948 terhadap pemimpin politik dan aktivis.
Kenyataan itu telah dilihat dan didengar oleh anggota polis di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Polis Diraja Malaysia, Menara KPJ, No 238, Jalan Tun Razak, di sini, pada jam 2.09 petang, 30 Julai lalu.
Muhammad Hilman didakwa mengeluarkan kenyataan “Kepada Menteri Dalam Negeri, saya tahu bahawa Polis Diraja Malaysia tidak ingin menahan sahabat kami, tetapi penahanan mereka adalah atas arahan Menteri Dalam Negeri.
“Tolong sampaikan wahai Polis Diraja Malaysia. Sampaikan kepada Menteri Dalam Negeri, kamu sedang mengajar kami, kamu sedang melatih kami. Lebih ramai sahabat kami ditangkap, lebih cepat kerajaan dan kamu akan kami tumbangkan daripada Kerajaan Persekutuan hari ini”.
ADUN Gombak Setia itu yang diwakili peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan.
“Saya akan lawan dan minta dibicarakan,” kata Muhammad Hilman.
Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datuk Badiuszaman Ahmad menawarkan ikat jamin RM10,000 sebelum Muhammad Rafique memohon jaminan minimum atas alasan anak guamnya memberi kerjasama baik kepada polis sepanjang proses siasatan.
“Tertuduh seorang ADUN yang dikenali rakyat Selangor dan Malaysia, tiada sebab untuk tertuduh melarikan diri. Saya cadangkan jaminan seharusnya pada kadar RM3,000 sahaja dengan seorang penjamin dan tanpa syarat lain kerana beliau perlu menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat,” katanya.
Selain Muhammad Rafique, tertuduh turut diwakili peguam, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Zolazrai Zolkapli, Alias Rasman dan Afiqa Nardin.
Mahkamah kemudiannya menetapkan ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 9 Oktober depan untuk serahan dokumen.
Yang turut hadir di kompleks mahkamah termasuk Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin; Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Ketua Srikandi BERSATU, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Naib Ketua ARMADA, Faiz Rahmad dan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Selain itu, pemimpin PAS seperti Ketua Pemuda merangkap Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden; Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari; Ahli Parlimen Pokok Sena, Ahmad Yahaya dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Jamaludin Yahya. – BH
