Sarjan didakwa minta rasuah RM3,000

JOHOR BAHRU: Seorang  Sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meminta rasuah sebanyak RM3,000, dua tahun laku.

Tertuduh, Samsul Sulaiman, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Dia yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang didakwa meminta suapan daripada seorang wanita sebagai dorongan untuk menyelesaikan kes jenayah pecah rumah dan curi harta yang dihadapi suami wanita itu di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di IPD Kluang kira-kira pukul 3 petang, 15 Julai 2023 dan didakwa di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000,  yang lebih tinggi, jilasabit kesalahan.

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ameera D’aneez Mohd. Shukari, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohd. Azlan Shah Allias.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebamyak RM7,000 dengan seorang penjamin serta menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di Pejabat SPRM Kluang setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 30 September depan sebagai  tarikh sebutan semula kes. – Majestic

More From Author

Taylor Swift umum bertunang dengan Travis Kelce

Syarikat umrah viral lesap, 92 jemaah rugi lebih RM500,000