Ratu cantik bukan sekadar rupa – Melisha Lin

KUALA LUMPUR: Gelaran ratu cantik tidak seharusnya dinilai hanya pada rupa paras, sebaliknya perlu dilihat dari segi kemampuan memberi inspirasi, mempengaruhi secara positif dan menjadi ikon kepada masyarakat.

Pengarah Nasional Miss Grand Malaysia 2025 Melisha Lin berkata gelaran ratu cantik tersebut datang bersama-sama tanggungjawab besar kerana individu yang memegang gelaran itu membawa imej negara di mata dunia.

“Apabila kita memakai selempang Malaysia, terutamanya di pertandingan antarabangsa, kita tidak dipanggil denggan nama (contohnya) Melisha Lin. Kita dipanggil sebagai Malaysia. Jadi, apa juga yang kita lakukan atau ucapkan, mencerminkan negara,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Darah Muda bertajuk “Miss Grand Malaysia: Mahkota, Menawan, Memimpin” terbitan Bernama TV.

Beliau yang juga pemenang tempat keenam Miss Grand International 2024, berkata antara elemen penting yang perlu dimiliki oleh seorang ratu cantik ialah kecantikan, kecergasan fizikal, kelakuan yang baik, pengetahuan dan taraf pendidikan.

“Kalau dalam pertandingan Miss Grand International kita ada 5B, iaitu ‘beauty, body, brain, business, behaviour’, tapi asas sebagai ratu yang baik perlu ada 4B tanpa elemen business,” jelasnya.

“Bagi saya kecantikan itu perkara biasa. Anda kena ada kecantikan yang unik untuk mewakili negara. Tubuh yang sihat, cantik dan menawan. Tingkah laku dan sikap anda juga penting. Semua orang perlu asa pengetahuan asas dan latar belakang pendidikan,” katanya.

Melisha turut menekankan kepentingan menggunakan platform ‘ratu cantik’ untuk menyuarakan isu yang bermakna dalam kalangan masyarakat.

“Setiap ratu ada isu yang diperjuangkan. Sebagai contoh saya sendiri yang memperjuangkan kesihatan mental sejak 2016. Malah, sejak di bangku sekolah lagi. Saya telah lama menyertai National Coalition for Mental Wellbeing in Malaysia,” katanya.

Ditanya tentang kepentingan pengaruh media sosial, beliau berpendapat keikhlasan dalam berinteraksi dan kematangan mengurus kritikan adalah kunci untuk terus dihormati.

“Populariti boleh dibeli, tetapi maklum balas positif tidak boleh dibeli… Bila ada acara ‘homecoming’ atau apa-apa majlis, dan ramai yang datang untuk melihat kita, itulah sokongan sebenar,” katanya.

“Saya ada 104,000 pengikut di media sosial, tapi saya masih luangkan masa untuk membalas mesej mereka satu per satu. Itu perkara yang saya lakukan sejak saya hanya ada 100 pengikut, dan masih saya amalkan hingga kini. Itulah yang buat peminat terus setia dan mahu sokong kita,” katanya.

Sebagai pengarah nasional baharu bagi pertandingan ratu cantik, Melisha berkata beliau akan menekankan nilai kesetiaan kepada negara, penghargaan terhadap pasukan sokongan serta semangat patriotik dalam kalangan ratu baharu.

“Jangan lupa asal usul kamu. Saya sangat menghargai sumbangan setiap orang dalam pasukan saya… tanpa mereka siapalah kita,” katanya, menambah mereka yang mewakili Malaysia juga perlu mempunyai semangat patriotik yang tinggi.

— BERNAMA

More From Author

Dua rakyat Malaysia meninggal dunia di wilayah Yala

PADU akan jadi rujukan laksana mekanisme subsidi bersasar RON95 – Amir Hamzah