Penggalian kubur Syamsul Haris akan dilaksana secepat mungkin – Saifuddin

KUALA LUMPUR: Penggalian semula kubur Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin akan dilaksanakan secepat mungkin.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihak polis akan membantu memudahkan proses pelaksanaan susulan perintah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.

“Keputusan sudah dibuat… macam juga kes adik Zara (Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir), polis akan menyusul.

“Sebenarnya, ia adalah satu proses serius yang membabitkan majistret, pasukan perubatan, keluarga, polis, doktor… semua terbabit.

“Peranan polis ialah memastikan keputusan mahkamah dilaksanakan, kita akan memudahkan (facilitate). Kita tidak perlu pertikai lagi dan ia akan dibuat (kubur digali semula) secepat mungkin,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penutup Siri Dialog Khas III PDRM anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), di Pusat Konvensyen Sime Darby, hari ini.

Terdahulu pada hari ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan kubur Allahyarham Syamsul Haris, 22, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu di Semenyih, Selangor, digali semula.

Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45.

Hakim itu dipetik berkata, proses menggali semula kubur Syamsul Haris membolehkan bedah siasat kedua dijalankan dalam tempoh 14 hari selepas jasad dikeluarkan.

Pada prosiding itu, Bhupindar Singh mengeluarkan tiga perintah yang perlu dipatuhi pihak responden, iaitu:

  • Perintah untuk menggali keluar semula jenazah Syamsul Haris di Tanah Perkuburan Islam Rinching Ulu bagi menjalankan bedah siasat kedua bawah penyeliaan responden pertama, iaitu Ketua Polis Negara atau pegawainya dan boleh mendapatkan bantuan mana-mana pihak lain yang berkenaan jika difikirkan perlu.
  • Suatu perintah bagi seorang pakar forensik Hospital Kuala Lumpur, iaitu patologi forensik untuk melakukan bedah siasat semula ke atas jasad Syamsul Haris dalam tempoh 14 hari selepas jenazah itu dikeluarkan, dengan kehadiran pakar forensik, Datuk Seri Dr Bhupinder Singh, dan peguam lantikan keluarga, Datuk Naran Singh atau wakil daripada Tetuan Naran Singh & Co.
  • Suatu perintah bagi pakar forensik yang menjalankan post-mortem itu untuk mengeluarkan laporan dalam tempoh munasabah dari tarikh bedah siasat dijalankan dan satu salinan laporan itu hendaklah diserahkan kepada peguam pemohon, Tetuan Naran Singh & Co.

Sebelum ini, media melaporkan Syamsul Haris meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai lalu selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Tembakan Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram, dan jenazah dikebumikan pada keesokannya. – BH

More From Author

Koperal mengaku ambil rasuah RM1,500

Suami isteri antara 3 ditahan edar 1.03 kg dadah