PDRM sahkan pergi ke rumah penyanyi rap untuk serah surat panggilan saksi

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan beberapa pegawainya pergi ke kediaman seorang penyanyi rap baru-baru ini untuk menyerahkan surat panggilan saksi kepadanya bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata tindakan itu dibuat mengikut Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah, susulan laporan ke atasnya oleh seorang lelaki berusia 33 tahun pada 31 Julai lalu yang mengadu menerima hantaran jelik daripada penyanyi itu menerusi hantaran di media sosial Instagram.

“Hantaran yang diterima pengadu berunsur serangan dalam komen, mesej kebencian, tuduhan dan kecaman yang memfitnah watak serta reputasi pengadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadil berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Penyanyi berkenaan dalam sebuah video tular berdurasi tiga minit sembilan saat yang dimuat naik di Instagramnya, memaparkan beberapa pegawai polis datang ke kediamannya dan cubaannya menghubungi polis bagi meminta maklumat berhubung tujuan kedatangan mereka. – BERNAMA

More From Author

Anwar ajak rakyat sertai Himpunan Solidariti Palestin di Dataran Merdeka Ahad ini

Kutip hampir RM283,479, laman sesawang ‘Yayasan Diogo Jota’ dikesan palsu