KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Operasi (COO) myBurgerLab, Andrew Chong dipecat susulan kenyataan berhubung isu denda kepada lelaki Islam yang tidak solat Jumaat di Terengganu.
Pihak pengurusan myBurgerLab dalam kenyataannya berkata, perkhidmatan Andrew selaku COO syarikat itu ditamatkan, hari ini.
Syarikat itu turut menegaskan pihak myBurgerLab tidak berkongsi pandangan Andrew yang menimbulkan kemarahan, kekecewaan masyarakat Islam selain menekankan bahawa kenyataan itu bertentangan dengan nilai syarikat.
“Kami mengambil tanggungjawab penuh ke atas kelalaian ini dan mengutuk sebarang bentuk diskriminasi atau tindakan yang tidak menghormati agama.
“Kami berdiri teguh bersama komuniti Islam kami. Kepada semua yang terkesan, kami menyampaikan permohonan maaf yang tulus ikhlas,” menurut kenyataan itu.
Susulan kejadian itu, pihak myBurgerLab turut memaklumkan akan menyemak dasar dalaman dan melaksanakan latihan sensitiviti budaya bersama pakar termasuk pegawai dari Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM).
Terdahulu, Andrew memohon maaf kerana mengkritik langkah kerajaan Terengganu mengenakan denda terhadap lelaki Islam yang tidak menunaikan solat Jumaat tanpa alasan munasabah.
Selepas menerima kecaman daripada warganet di platform X, Andrew berkata beliau “amat kesal” dengan kenyataannya, sambil mengakui bahawa ia menyinggung perasaan masyarakat Islam.
“Ia adalah satu tindakan yang tidak berfikir panjang dan saya bertanggungjawab sepenuhnya.
” Nilai saya berteraskan rasa hormat dan keterangkuman, tetapi dalam hal ini saya sudah gagal,” katanya.
Andrew dilaporkan menulis komen di laman media sosial miliknya berhubung denda yang dikenakan terhadap lelaki Islam yang tidak solat Jumaat di Terengganu.
“Perlahan-lahan tapi pasti Malaysia akan diambil alih oleh ekstremis. Kita akan jadi seperti Iran selepas revolusi. Apa yang berlaku hari ini, dan itu pasti menakutkan orang ramai,” tulisnya. – BH
