PUTRAJAYA: Dalam usaha menyemarakkan suasana kemerdekaan yang ke-68, Malayan Flour Mills Berhad (MFM) telah turut serta dalam sambutan Perarakan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya.
Ia merupakan satu di antara program di bawah kempen ‘Penuh Rasa, Menyatukan Jiwa’ yang telah dirancang oleh syarikat perintis industri pengilangan tepung di Malaysia itu sempena hari kemerdekaan.

Untuk hari ini, program dikenali sebagai ‘Permainan Bergerak dan Hadiah @ Perarakan Merdeka Putrajaya’ yang menyediakan permainan menyeronokkan buat para pengunjung seperti cabaran lengkapkan ‘puzzle’ telah diadakan.
Krew acara MFM akan bergerak di lokasi utama sepanjang laluan perarakan, dari Perbadanan Putrajaya hingga ke Masjid Putra, sambil mengajak para pengunjung menyertai permainan tersebut.
Pemenang akan menerima Tepung Cap Ros, topi, beg serta berpeluang menebus hadiah istimewa termasuk beg tote dan barangan eksklusif dengan hanya mengikuti serta menanda @mfmcaprosflour di media sosial.

Ketua Bahagian Pemasaran MFM, Louis Shim ketika ditemui Majestic News berkata, program seperti ini dirancang untuk mengeratkan lagi hubungan di antara pihaknya yang sudah berada di pasaran selama 60 tahun bersama rakyat Malaysia.
“Kami hadir untuk menyambut hari kemerdekaan bersama seluruh rakyat Malaysia kerana seperti mana diketahui tepung MFM bukan sahaja Cap Ros tetapi termasuk beberapa produk lain yang sudah berada di pasaran selama 60 tahun.
“Ini merupakan satu pengalaman yang menarik, kami bawa sekali krew yang terdiri daripada 40 orang untuk berinteraksi dengan pengguna, menunjukkan kepada pengguna apa Tepung Cap Ros boleh lakukan.
“Untuk fakta, ini buat julung kali (kami sertai sambutan kemerdekaan), ia agak berbeza, kami mahu berada di sini bersama semua pihak dan menyambut hari yang begitu penting ini bersama warga Malaysia ,” katanya hari ini.

Ketika diberitahu bahawa orang ramai begitu senang dengan kehadiran MFM dalam sambutan kali ini, Louis memberi reaksi positif dan percaya program seperti ini mungkin akan diteruskan lagi pada tahun hadapan.
Pada masa sama, jelas beliau, pada hari ini, pihak MFM turut mengambil kesempatan memperjelaskan kelebihan produk yang dimiliki selain kegunaannya kepada pengunjung kerana percaya bahawa makanan boleh menyatukan semua orang.
“Ada kemungkinan, jika berjaya (tahun ini) mungkin tahun hadapan kita akan buat lagi.
“Tahun hadapan kami akan menyambut ulang tahun ke-60 secara besar-besaran. Kami sangat teruja untuk sambutan ini,” katanya lagi.

Produk utama MFM, Tepung Cap Ros diperkaya dengan vitamin dan zat besi serta terkenal dengan kepelbagaian penggunaannya dalam membakar, menggoreng, memekatkan kuah dan menyediakan doh.
Dengan kandungan protein seimbang, Tepung Cap Ros sentiasa memberikan hasil berkualiti bagi hidangan kegemaran rakyat Malaysia sekali gus menjadikannya pilihan utama isi rumah dan perniagaan makanan di seluruh negara. – Majestic