Liga Super buka tirai, Cklamovski mula buat penilaian

KUALA LUMPUR: Tirai saingan Liga Super yang dibuka pada Jumaat lalu menandakan barisan kejurulatihan skuad kebangsaan diketuai Peter Cklamovski juga mula membuka buku penilaian terhadap pemain untuk dipanggil menyertai Harimau Malaya.

Cklamovski dan staf kejurulatihan skuad negara ketika ini boleh dianggap sudah mula sibuk memantau semua pemain menjelang tugasan Harimau Malaya bagi menghadapi jendela perlawanan antarabangsa bulan depan.

Skuad negara akan mengharungi dua aksi persahabatan menentang pasukan jiran seberang tambak, Singapura yang berada di ranking 159 dunia dan Palestin (ranking 98 dunia) pada 4 dan 8 September ini.

Mata Cklamovski mungkin lebih terarah kepada skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) terutama terhadap empat pemain warisan baharu termasuk Jon Irazabal, Joao Figueiredo, Hector Hevel dan Nacho Mendez yang baru menyertai skuad itu musim ini.

Membuat penampilan sulung dalam kancah Liga Malaysia (Liga M), empat pemain itu diletakkan dalam kesebelasan utama Harimau Selatan dan berjaya membantu skuad itu menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah selepas menundukkan Selangor 3-0.

Mendez berpotensi besar untuk dipanggil menyertai Harimau Malaya buat kali pertama bulan depan dengan JDT sebelum ini mengesahkan bahawa bekas perancang tengah Sporting Gijon itu adalah pemain warisan Malaysia.

Meskipun pasukan JDT menjadi tumpuan kerana ramai tonggak berkualiti dan berstatus pemain kebangsaan berada dalam skuad itu, namun pemain dari pasukan lain tetap memiliki peluang untuk memikat hati Cklamovski.

Malah, pengendali dari Australia itu sebelum ini sudah menyatakan bahawa peluang untuk menyertai skuad kebangsaan terbuka kepada semua pemain termasuk bintang muda dengan syarat mereka mempamerkan prestasi terbaik dan mampu memberi impak kepada Harimau Malaya.

“Saya ada keyakinan yang Malaysia mempunyai pemain berbakat dan saya agak bertuah untuk menyaksikan banyak perlawanan di Liga Super. Saya dapat melihat bakat yang ada termasuk juga babitkan pemain muda,” kata Cklamovski.

Beberapa pemain menunjukkan persembahan yang menyerlah dalam perlawanan pertama liga musim ini dan berpotensi berada dalam senarai Harimau Malaya termasuk penyerang Kuala Lumpur (KL) City, Safawi Rasid dan penjaga gol Selangor, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi.

Selepas aksi pertama Liga Super, semua pemain memiliki tiga lagi aksi Liga Super sehingga hujung bulan ini untuk menonjolkan bakat mereka sebelum saingan liga berehat untuk aksi antarabangsa pasukan kebangsaan.

Selain aksi Liga Super, satu aksi pusingan 16 Piala FA yang dijadualkan berlangsung pada 16 hingga 18 Ogos ini juga menjadi medan Cklamovski menilai pemain yang ingin dipanggil. – SINAR HARIAN

More From Author

Tuah dengar cakap isteri, jurukimpal bawa pulang RM30,000

Perak FC diarah bayar RM1.04 juta kepada Teong Kim