Kubur boleh digali semula termasuk untuk bedah siasat

PETALING JAYA: Rektor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), Prof. Dr. Rozaimi Ramle atau lebih dikenali sebagai Dr RoRa berkata, mengikut pandangan kitab fiqh, kubur boleh digali semula dalam situasi tertentu.

Ini katanya, termasuk jenazah belum dimandikan, tidak menghadap kiblat, tertanam bersama barang berharga atau jenazah mengandung dengan bayi berkemungkinan masih hidup.

Selain itu katanya, kubur juga boleh digali jika dikebumikan di tanah milik orang lain tanpa izin, orang kafir ditanam di Tanah Haram, bimbang digali haiwan buas atau kawasan berisiko banjir.

Bagi tujuan semasa, kubur turut dibuka semula untuk tujuan bedah siasat kes jenayah, namun ia perlu mendapat kebenaran pihak berkuasa dan dilakukan dengan menjaga kemuliaan jenazah.

“Antara syarat yang perlu dipatuhi termasuk tidak mendedahkan aurat si mati kepada umum, tidak menghina jenazah dan menyegerakan proses bedah siasat tanpa membiarkan jenazah terlalu lama di luar.

“Jika dipercayai jasad mayat telah mereput atau hancur dan bedah siasat pada ketika itu tidak memberi manfaat, maka tidak dibenarkan untuk digali semula.

“Apa-apa pun semua ini perlukan pengesahan pakar perubatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

More From Author

Kereta terbabas, Honda Civic EK dinaiki 4 sekeluarga bertembung treler

Nahas Gua Musang: Ibu Muhammad Faiz, Nor Aina empat kali pengsan