Kejohanan Dunia: Pearly-Thinaah mara ke final

KUALA LUMPUR: Semangat juang bagaikan srikandi kemerdekaan dipamerkan beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah yang melakar kejayaan gemilang dengan mengesahkan kemaraan ke pentas final Kejohanan Dunia buat kali pertama, hari ini.

Dalam aksi separuh akhir yang cukup mendebarkan di Adidas Arena, Paris itu, gandingan kedua dunia itu mempamerkan kebangkitan luar biasa untuk menundukkan musuh tradisi dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.

Kejayaan itu sekali gus memberikan mereka peluang untuk menghadiahkan gelaran juara dunia sebagai hadiah paling bermakna sempena sambutan Hari Kebangsaan esok.

Seperti dijangka, Pearly-Thinaah terpaksa mengerah segala keringat sebelum menoktahkan kemenangan dalam pertarungan tiga set 14-21, 21-13, 21-13 ke atas pilihan ketiga itu dalam tempoh 68 minit.

Kemenangan itu bukan sekadar membalas dendam ke atas lawan yang sering menjadi penghalang utama mereka, tetapi juga membuktikan mereka kini berada pada tahap terbaik untuk menakluki pentas dunia.

Pada set pertama, beberapa kesilapan mudah yang dilakukan oleh Thinaah di jaring memberikan kelebihan awal kepada pasangan Jepun. Dan walaupun berjaya merapatkan jurang kepada 10-12 pada satu ketika, Matsuyama-Shida kembali melebarkan kedudukan hasil beberapa kesilapan tidak sepatutnya sebelum menang 21-14.

Tersentak, Pearly-Thinaah tampil dengan corak permainan lebih agresif pada set kedua. Meskipun ketinggalan 0-2 pada awal permainan, mereka pantas bangkit untuk mendahului 4-2 dan terus mengawal permainan dengan selesa pada kedudukan 8-4 dan 11-8.

Rentak cemerlang itu diteruskan selepas rehat apabila mereka terus menghukum setiap kesilapan lawan untuk mendahului 17-9, sebelum pukulan terburu-buru Matsuyama yang tersangkut di jaring menghadiahkan kemenangan 21-13 buat pasangan negara dan mengheret perlawanan ke set penentuan.

Pada set penentuan, sekalipun pasangan Jepun meraih mata pertama, keyakinan jelas memihak kepada Pearly-Thinaah. Selepas terikat 3-3 dan ketinggalan 5-7, mereka mempamerkan ketenangan untuk menyamakan kedudukan 7-7.

Dan ketika Matsuyama kelihatan tidak begitu cergas, dan kesempatan itu diambil sepenuhnya oleh Pearly-Thinaah untuk memecut dengan meraih enam mata berturut-turut bagi mendahului 15-9 dengan mata kemenangan diraih apabila pukulan Shida sekali lagi tersangkut di jaring. – BH

More From Author

Ada kecederaan mencurigakan pada badan Syamsul Haris

Tang Jie-Ee Wei mengganas di Paris, mara ke final