Jet Li pulih selepas pembedahan kecil

KUALA LUMPUR: Bintang seni bela diri tersohor, Jet Li, 62, menenangkan kegusaran peminat apabila tampil mengesahkan dirinya sedang pulih selepas menjalani pembedahan kecil baru-baru ini.

The Straits Times melaporkan menerusi hantaran video di aplikasi Douyin pada 17 Ogos lalu, pelakon Shaolin Temple itu kelihatan terbaring di atas katil hospital dengan mata terpejam.

Mengiringi hantaran itu adalah kapsyen dalam bahasa Inggeris iaitu “Saya baru berdepan cabaran yang tidak diduga.”

Tidak lama selepas itu, Li muncul berdiri dalam klip sama sambil berkata: “Saya rasa jauh lebih baik sekarang. Mari beritahu semua orang yang saya baik-baik saja.”

Sehari kemudian, pelakon kelahiran Beijing itu memuat naik foto di laman Weibo menunjukkan dirinya menikmati semangkuk mi sambil berseloroh dalam kapsyen berbahasa Mandarin.

“Saya sudah keluar dari ‘kilang’ (hospital) dan kini boleh menjamu makanan enak.” tulisnya.

Pelakon legenda itu turut merakamkan ucapan terima kasih atas doa serta keprihatinan peminat, selain menitipkan harapan agar semua dikurniakan kesihatan dan kebahagiaan.

Sementara itu, laporan itu turut menyebut rakan karibnya yang juga penerbit filem Hong Kong, Tiffany Chen memberitahu pembedahan tersebut dilakukan bagi membuang ketumbuhan kecil yang disahkan tidak berbahaya.

Pada 2019 Li pernah mendedahkan beliau menghidap hipertiroidisme, iaitu penyakit hormon tiroid yang boleh menyebabkan keletihan serta penurunan berat badan, dan sehingga kini masih bergantung kepada ubat untuk mengawal keadaan itu. – The Straits Times

More From Author

7 saksi dipanggil bantu siasatan kes buli Izzul Islam

Buli: Laksana penguatkuasaan lebih ketat, jadikan sekolah kawasan selamat – Tunku Mahkota Ismail