Jabatan Pendidikan Johor akan selesaikan kes buli murid tahun 4

JOHOR BAHRU: Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan menyelesaikan kes seorang murid tahun empat yang didakwa dibuli dua kali hingga mengalami gangguan ingatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, pihaknya sedang memuktamadkan tindakan lanjut termasuk libat urus bersama keluarga mangsa dan pelaku.

“Semua dalam tindakan JPN Johor. Kami telah berbincang dan beberapa tindakan akan dibuat terhadap pelaku dan sebagainya, namun ia masih dalam proses dimuktamadkan.

“Kadangkala bukan murid saja yang perlukan kaunseling, keluarga juga diberi bimbingan agar sama-sama dapat mengatasi trauma akibat insiden ini,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat kanak-kanak terbabit di Wad Pediatrik sebuah hospital swasta, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Khairin-Nisa Ismail dan Pengarah Pendidikan Negeri, Mohd Hanafi Samad.

Dalam perkembangan sama, Aznan memberitahu beliau mempengerusikan satu mesyuarat Jawatankuasa Khas Anti Buli Negeri Johor di Iskandar Puteri, hari ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Khairin-Nisa Ismail itu adalah usaha agresif dan bersepadu menangani isu buli yang semakin membimbangkan.

Mesyuarat berkenaan merumuskan pelan gerak kerja komprehensif termasuk kempen berfasa serta program intervensi di semua institusi pendidikan, khususnya sekolah, dengan penglibatan guru, ibu bapa serta masyarakat.

Kempen anti-buli Johor digerakkan bagi memastikan sekolah menjadi tempat yang selamat, anak Johor dilindungi, ibu bapa lebih prihatin, dan budaya buli dapat dihapuskan.

“Alhamdulillah tadi kita sudah berbincang bersama mengenai beberapa prosedur operasi standard (SOP) mengenai isu buli di Johor.

“Kita akan mengikut SOP sedia ada di peringkat KPM namun kita akan meningkatkan lagi kempen kesedaran, latihan dan sebagainya kepada pelajar dan juga guru-guru serta ibu bapa mengenai salah laku buli,”katanya.

Terdahulu, seorang murid tahun empat, Izzul Islam Azuan Isaidi dilaporkan dibuli sebanyak dua kali sehingga mengalami masalah ingatan.

Izzul Islam 10, adalah pesakit kanser hidung Adenoid cystic carcinoma (ACC) dipukul murid Tahun Enam pada 21 Februari lalu kerana pelaku yang berusia 12 tahun dipercayai tidak berpuas hati dengan anak perempuannya (kakak kepada mangsa).

Kejadian dikatakan berlaku pada jam 5 petang di belakang tandas sekolah agama apabila anaknya dipukul murid lelaki berusia 12 tahun itu termasuk ditendang, dihentak kepala bahagian kiri dan kanan serta dipaksa berbogel sambil disaksikan rakan baik mangsa.

More From Author

Saya akan kekal dalam politik – Tengku Zafrul

Bekas Ketua Polis Kelantan dilantik Presiden KRW FC