Isu air: Johor jangan sesal kemudian tiada guna – Amanah 

Berikut ada kenyataan Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Sr. Dzulkefly Ahmad tentang isu air berkaitan pusat data.

  1. Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor menzahirkan kebimbangan serius terhadap kenyataan Menteri Besar Johor berhubung isu bekalan air di negeri ini. 
  2. Keresahan rakyat Johor mengenai risiko krisis air terawat menjelang tahun 2030 adalah berasaskan fakta serta pengalaman negara lain, bukannya sekadar sangkaan.
  3. Beberapa negara yang pernah menjadi lokasi pusat data seperti Amerika Syarikat (Arizona & California), Belanda (Amsterdam & Zeewolde), Ireland (Dublin) dan Chile (Santiago) akhirnya berdepan krisis air dan tenaga dan bahkan Singapura yang terkenal dengan teknologi air canggih (NEWater, desalinasi) turut melaksanakan moratorium terhadap pusat data baharu dari tahun 2019–2022 akibat isu tenaga dan air serta Johor tidak boleh mengulangi kesilapan yang sama.
  4. AMANAH Johor menegaskan, bukan masanya menuding jari atau menafikan pandangan pihak lain dengan menuduh berniat jahat untuk menakutkan pelabur-pelabur sebaliknya Kerajaan Negeri perlu bersikap terbuka serta proaktif menerima teguran. Pandangan dan teguran dibuat demi kepentingan masa hadapan Johor serta Bangsa Johor dan tidak ada kena mengena dengan isu menentang kemasukan pelaburan FDI ke Johor. ‘Benchmark’ adalah pastikan setiap pelaburan FDI yang masuk mendatangkan lebih manfaat daripada mudarat kepada Johor.
  5. Usaha mencari penyelesaian inklusif demi kepentingan Bangsa Johor pada masa hadapan mesti diutamakan seperti Pepatah Melayu mengingatkan kita: “Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.”
  6. Johor merupakan negeri dengan tarif air domestik tertinggi di Malaysia, namun tahap kecekapan pengurusannya masih rendah dan gangguan air berjadual dan tidak berjadual terus berlaku di bawah seliaan Ranhill SAJ Sdn. Bhd. Malah, kelemahan ini turut ditegur oleh DYAM Tunku Mahkota Johor, Pemangku Sultan Johor baru-baru ini.
  7. AMANAH Johor menegaskan bahawa isu air ini tidak boleh dipandang ringan atau sekadar dijawab dengan retorik politik dan Kerajaan Negeri perlu segera membentangkan pelan jangka panjang yang telus, menambah baik sistem pengurusan air, serta memastikan kepentingan rakyat sentiasa diutamakan. 
  8. Air adalah hak rakyat yang perlu dianggap sebagai ‘National Security Issue’ dan tidak boleh dikompromi atau menjadi taruhan walaupun atas nama  industri digital. 

SR DZULKEFLY AHMAD
Timbalan Pengerusi 
Parti Amanah Negara (AMANAH) 
Negeri Johor

More From Author

Akmal Saleh didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam

220kg syabu bernilai RM7 juta ditemui dalam kereta terbabit kemalangan