KUALA LUMPUR: Ibu kepada seorang aktres popular mendakwa perubahan sikap anaknya berpunca daripada hasutan pihak ketiga sehingga hubungan kekeluargaan mereka menjadi retak.
Wanita berkenaan mendakwa perbuatan mengadu domba oleh individu sekeliling menyebabkan anaknya itu kini bersikap dingin terhadapnya.
“Dengan hasutan orang sekeliling, dia kini membelakangkan saya. Dia sudah ada duit, bolehlah dia buat sesuka hati.
“Dia lupa masa susah dahulu, saya ada di sisinya. Bila sudah pegang duit sendiri, popular dan perangai semakin melampau, ramai pula yang menghasut dia,” katanya ketika siaran langsung di media sosial, semalam.
Menurutnya, tindakan pihak tertentu yang dianggap ‘terpaling menghasut’ menyebabkan anaknya mengambil langkah undang-undang termasuk memfailkan perintah injunksi terhadapnya.
Dalam pendedahan sama, wanita itu turut mengakui pernah menampar anaknya namun menegaskan ia bukan penderaan seperti didakwa, sebaliknya bertujuan mendidik.
“Saya pernah tampar dia… Biasalah, emak pukul anak kalau nakal.
“Saya tampar sebab dia kuat melawan, melampaui batas, sampai guna bahasa ‘kau… aku’ dengan saya dan berkata perkara yang tak sepatutnya,” jelas wanita terbabit.
Dia mendakwa, perubahan sikap anaknya itu turut membuatkan rasa hormat dan kasih sayang terhadap ibu semakin pudar.
“Dia sudah hilang hormat pada saya. Senang cerita, dia sudah ‘buang’ saya,” katanya lagi.
Susulan kemelut ini, wanita terbabit berkata, dia kini bercadang mencari sumber rezeki sendiri untuk menyara hidup.
“Sebelum ini, duit saya dan suami juga digunakan untuk dia. Sekarang, duit dia adalah hak miliknya.
“Itu hasil titik peluh dia, tak boleh minta sesuka hati. Mungkin saya akan berniaga kecil-kecilan,” katanya lagi.
Sebelum ini, pertelingkahan dua beranak ini mendapat perhatian apabila si ibu memaklumkan menerima perintah injunksi difailkan anaknya, selain memuat naik foto dirinya di balai polis di Instagram Story (IGs).
Setakat ini, aktres terbabit masih mendiamkan diri tanpa sebarang kenyataan atau penjelasan di media sosial. – BH
