MELAKA: Guru besar sebuah sekolah rendah ditahan kerana disyaki mencabul kehormatan murid lelaki dalam tandas sekolah dan di pejabatnya.
Sumber berkata, perbuatan itu terbongkar apabila mangsa, 12, menceritakan kepada ibunya perbuatan jijik lelaki berusia 58 tahun itu.
Katanya, satu laporan polis turut dibuat mangsa berhubung kejadian itu dengan ditemani ibunya.
“Mengikut laporan, mangsa mendakwa semasa menunggu rakan di tandas sekolah di Blok B, suspek tiba-tiba memeluknya dari belakang sambil menyuruhnya menyebut perkataan ‘I love You’ (saya sayang awak) kepada berkali-kali.
“Mangsa juga mendakwa dicabul suspek Jun lalu ketika dipanggil ke pejabat guru besar itu bagi membantu menampal sijil.
“Mangsa menyatakan semasa dalam pejabat, suspek memeluknya dari belakang dan memegang kemaluannya sambil disaksikan seorang rakan,” katanya.
Susulan laporan itu, polis menahan suspek, namun lelaki itu dilepaskan dengan jaminan polis selepas dirakam percakapan.
Ketua Polis negeri, Datuk Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan menerima laporan kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. – BH
