Dakwaan Zara Qairina dimasukkan ke dalam mesin basuh satu spekulasi – Peguam

KUALA LUMPUR: Peguam mewakili keluarga Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, memaklumkan video seorang wanita mendakwa bahawa pelajar berusia 13 tahun itu dimasukkan ke dalam mesin basuh, adalah satu spekulasi.

Dua peguam terbabit, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri dalam satu kenyataan, hari ini, turut menegaskan ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat, tidak pernah memberi maklumat sedemikian kepada mana-mana pihak.

Mereka sekali gus menggesa wanita berkenaan menyalurkan maklumat itu kepada pihak polis bagi tujuan siasatan.

“Berikutan penularan beberapa video dan gambar berkaitan kes Zara, pertama, kami ingin membuat kenyataan bahawa video seorang wanita menceritakan Zara dimasukkan ke dalam mesin basuh, adalah satu spekulasi.

“Penyebaran gambar kronologi yang menggambarkan Zara hanya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1 pada jam 8 pagi pada 16 Julai 2025 juga adalah satu spekulasi. Maklumat yang membentuk kronologi itu bukan datang daripada anak guam kami.

“Kedua, penyebaran gambar pelajar sekolah di platform media massa dan membuat kenyataan negatif terhadap mereka, adalah satu kesalahan jenayah bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001, serta Seksyen 211 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Ketiga, penyebaran senarai nama pelajar-pelajar sekolah yang mengandungi maklumat peribadi mereka juga adalah satu kesalahan jenayah bawah Seksyen 130 Akta Perlindungan Peribadi 2010 serta Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” menurut kenyataan itu.

Mengulas lanjut, kedua-dua peguam terbabit berharap penularan perkara-perkara itu di semua platform media sosial, dihentikan segera.

“Kepada mereka yang telah melakukan penyebaran berkenaan, kami memohon agar memadamkan video dan gambar terbabit. Spekulasi hanya menambah tekanan dan kesedihan kepada anak guam kami.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkenaan kes Zara, diminta untuk menyalurkan maklumat berkenaan kepada polis untuk tujuan siasatan,” menurut kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu dibuat susulan dakwaan terbaru berlegar dalam media sosial mendakwa bahawa Zara Qairina dimasukkan ke dalam mesin basuh sehingga mengalami kecederaan dalaman.

Dakwaan itu tular sejak beberapa hari lalu menerusi pelbagai akaun tidak dikenali dalam media sosial, antara lain mengaitkan kecederaan Zara Qairina dengan tekanan mesin basuh, kononnya digunakan oleh ‘pembunuh’ untuk menghapuskan cap jari dan asid deoksiribonukleik (DNA).

Setakat ini, tiada sebarang pengesahan atau petunjuk daripada pihak berkuasa berhubung elemen yang didakwa itu. – BH

More From Author

Had umur persaraan wajib: JPA akan laksana kajian

Video tular kaitkan Mohd Shuhaily palsu, guna AI – AKPS