Cubaan warga China keluar ikut sempadan gagal, ditahan tinggal lebih masa

KUALA LUMPUR: Cubaan seorang lelaki warga China meninggalkan negara melalui sempadan Thailand tidak kesampaian apabila dia ditahan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, kelmarin, selepas disyaki tinggal lebih masa.

Lelaki berusia 39 tahun itu dicekup pada jam 1 tengah hari ketika pemeriksaan dokumen rutin dilakukan ke atasnya oleh anggota Imigresen di laluan keluar kompleks itu.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan semakan terhadap pasport suspek mendapati kemasukan terakhir ke Malaysia direkodkan pada 30 Mei lalu melalui Kompleks Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang, Johor.

“Endosmen Pas Lawatan Sosial miliknya didapati sudah tamat tempoh dan tiada rekod endosmen keluar dari Thailand, menunjukkan dia kekal berada dalam negara melebihi tempoh dibenarkan selama 34 hari.

“Suspek kini ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya.

AKPS menasihatkan semua warga asing supaya sentiasa peka terhadap tempoh sah pas lawatan dan mengambil tindakan sewajarnya sebelum ia tamat.

“Tindakan seperti memohon lanjutan pas atau keluar dari negara sebelum tempoh tamat penting bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang.

“Penahanan ini mencerminkan komitmen berterusan AKPS dalam memastikan keselamatan serta pematuhan peraturan Imigresen dan sempadan negara,” katanya. – BH

More From Author

Dua lelaki lemas di Sungai Rayu

RMK13: KPDN perkukuh rantaian bekalan, perangi orang tengah