KUALA LUMPUR: Proses bedah siasat jenazah Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13, dijangka selesai petang ini atau selewat-lewatnya malam nanti.
Peguam keluarga, Hamid Ismail berkata, setakat pukul 3 petang proses bedah siasat berjalan lancar dan dijangka selesai dalam tempoh sejam setengah hingga dua jam.
Katanya, proses itu dijangka selesai petang ini juga atau jika terpaksa diselesaikan hingga malam.
“Bedah siasat masih lagi dijalankan. Jadi mungkin akan habis dalam sejam setengah ataupun dua jam, tapi kita harap lagi awal. Tapi terpulang kepada pakar forensik untuk menyelesaikan proses itu.
“Setelah selesai, jenazah akan dikafankan semula dan akan dibawa terus ke Sipitang untuk dikebumikan. Proses akan dilakukan hari ini juga. Kalau malam-malamlah,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE), hari ini.
Setakat ini, katanya proses bedah siasat berjalan baik dengan dipantau rakan guamannya, Shahlan Jufri di bilik bedah siasat, manakala anggota polis ditempatkan di luar bilik. – BH
