‘Anak saya diheret, dicucuk jarum suntikan oleh individu berpakaian hitam bertutup muka sepenuhnya’ – Rafizi

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mendedahkan anaknya diheret sebelum dicucuk dengan jarum suntikan secara tiba-tiba oleh seorang lelaki ketika berada di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, petang tadi.

Rafizi berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.45 tengah hari itu, anak dan isterinya sedang memasuki kereta untuk meninggalkan pusat beli-belah berkenaan apabila insiden berkenaan berlaku.

“Semakan menunjukkan dua lelaki menaiki sebuah motosikal mengekori kereta isteri saya. Pada hemat saya, mereka sudah merancang serangan itu lebih awal.

“Serangan itu membabitkan dua lelaki berpakaian hitam sepenuhnya dan bertopi keledar yang menutup muka keseluruhannya.

“Mereka sudah menunggu lebih awal dan bergegas menyerang anak saya pada waktu yang sesuai,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau yang juga bekas Timbalan Presiden PKR berkata, anaknya kemudian dibawa segera ke Hospital Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi mendapatkan rawatan.

“Pihak polis juga berada di tempat kejadian sejurus kejadian. Saya dan keluarga sudah memberi kenyataan kepada polis.

“Sebarang maklumat lanjut mengenai kejadian, siasatan dan keputusan pemeriksaan doktor sewajarnya dikeluarkan pihak polis dan Hospital UPM,” katanya.

Sementara itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak polis dan Hospital UPM yang membantu keluarganya atas kejadian berkenaan.

“Sepanjang saya menjadi seorang ahli politik berprofil awam, inilah kali pertama keluarga saya menjadi sasaran serangan dan ugutan seperti itu.

“Saya percaya serangan itu satu amaran kepada saya supaya tidak bersuara lantang dalam beberapa isu tertentu. Terima kasih kepada semua yang menghantar mesej dan bertanya khabar.

“Insya-Allah, sementara saya mengambil langkah susulan untuk meningkatkan kawalan keselamatan, saya juga tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan dan akan terus menjalankan tugas saya seperti biasa,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, mengesahkan kejadian serangan fizikal terhadap anak Rafizi di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya jam 2 petang tadi.

Mangsa berusia 12 tahun itu bagaimanapun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal. – BH

More From Author

Wanita mengaku tak salah tanam Musang King di tanah kerajaan

Murid Tahun Dua patah tulang hidung, retak tulang mata diserang rakan sekolah