SIPITANG: Kira-kira 5,000 penduduk dari sekitar daerah ini selain Brunei, Sarawak dan Labuan membanjiri Esplanade Sipitang di sini, petang ini, bagi menyertai Perhimpunan Aman Solidariti untuk Zara Qairina Mahathir.
Selain memakai pakaian berwarna putih, peserta yang hadir turut membawa kain rentang, bendera negeri dan juga plakad dengan tanda pagar #justice4zara.
Wakil penganjur, Dayang Nor Syafiqah Abdul Hamid yang ditemui berkata jumlah peserta yang datang pada program itu melebihi sasaran pihaknya meskipun cuaca kurang baik.
“Hari ini kami mengadakan Perhimpunan Aman Solidariti untuk Allahyarham Zara Qairina di Sipitang iaitu tempat kelahiran dan beliau membesar. Kita anggarkan kehadiran kira-kira 5,000 orang dari seluruh daerah dan Sabah selain Brunei, Sarawak dan juga Labuan.
“Ini melebihi daripada sasaran kami dimana kami hanya menganggarkan lebih kurang sekitar 2,000 ke 3,000 sahaja yang akan hadir menyertai perhimpunan ini,” katanya.
Dayang Nor Syafiqah berkata beliau bersama ahli kumpulannya seramai lapan orang yang menganjurkan program itu berharap siasatan telus dapat dilakukan demi keadilan untuk Zara Qairina.
“Kami mengharapkan satu keputusan yang telus memandangkan kita semua maklum sekarang bedah siasat sedang dilakukan. Kami hanya mahukan keadilan untuk Allahyarham Zara Qairina,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Zara Qairina didakwa terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datuk Mustapha, Papar dan ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang pada jam 4 pagi 16 Julai lalu.
Allahyarham disahkan meninggal dunia sehari selepas itu selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu.
Pada 31 Julai lalu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memaklumkan pihaknya tidak menolak kemungkinan unsur buli terbabit dalam kejadian berkenaan. – BH
