Zayn Rayyan: Mata Ismanira bengkak keluar mahkamah lepas diperintah bela diri

PETALING JAYA: Raut wajah ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matin iaitu Ismanira Abdul Manaf kelihat sugul selain memperlihatkan kedua-dua matanya bengkak seperti baru selesai menangis.

Meskipun Ismanira, memakai pelitup muka, namun matanya jelas memancarkan mesej kesedihan selepas dia diperintah membela diri, manakala suaminya, Zaim Ikhwan Zahari masing-masing berusia 30 tahun dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengabaikan anak mereka dua tahun lalu.

Terdahulu, Hakim Dr. Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap pertuduhan yang dikemukakan terhadap Ismanira manakala gagal membuktikan kes pendakwaan terhadap Zaim Ikhwan.

Kira-kira pukul 12.35 tengah hari, kedua-dua mereka keluar dari pintu utama mahkamah sambil Zaim Ikhwan memegang lengan isterinya menuju ke kafeteria untuk berehat.

Terdapat beberapa ahli keluargan yang lain turut menemani mereka menjamah makanan tengah hari sementara menunggu sesi perbicaraan sambungan pada sebelah petang.

Dalam pada itu, Ismanira dan Zaim Ikhwan tidak memberi sebarang reaksi atau sapaan kepada pengamal media yang mula ‘berkampung’ di pekarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya sejak pukul 7.30 pagi. – KOSMO! ONLINE

More From Author

Laporan palsu Ija dan adik, ganggu tugas kecemasan lain – Bomba

Muat naik komen jelik melampau libat institusi diraja, individu dirakam keterangan