SHAH ALAM – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengutus dua pucuk surat rasmi kepada pimpinan tertinggi Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bagi memaklumkan pelaksanaan tarif baharu terhadap semua produk negara ini.
Dalam kenyataan rasmi yang dimuat naik ke platform Truth Social, Trump berkata, pihaknya mengenakan kadar tarif 25 peratus produk Malaysia yang dieksport ke AS bermula 1 Ogos ini.
Kedua-dua surat bertarikh 7 Julai 2025 itu disiarkan secara terbuka oleh Trump melalui akaun berkenaan.
Menurut Trump, langkah tersebut diambil berikutan jurang perdagangan yang ketara antara kedua-dua negara serta dasar perdagangan Malaysia yang disifatkan tidak seimbang.
“Bermula 1 Ogos 2025, kami akan mengenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas semua produk dari Malaysia yang dihantar ke AS.
“Ini adalah kadar yang berasingan daripada tarif sektoral lain yang mungkin dikenakan.
“Sekiranya terdapat barang yang dihantar melalui negara ketiga untuk mengelakkan tarif lebih tinggi, maka barang itu akan tetap dikenakan tarif yang lebih tinggi tersebut,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, kadar tarif 25 peratus itu sebenarnya masih jauh lebih rendah daripada apa yang diperlukan untuk menghapuskan jurang defisit dagangan dialami dengan Malaysia.
Jelasnya, syarikat dari Malaysia boleh dikecualikan daripada tarif berkenaan sekiranya memilih untuk membina kilang atau menghasilkan produk terus dari dalam AS.
“Jika Malaysia bersedia untuk membuka pasaran dagangan yang selama ini tertutup kepada produk AS, serta menghapuskan dasar tarif dan bukan tarif serta halangan perdagangan sedia ada, maka kami mungkin bersedia untuk menimbang semula kandungan surat ini.
“Kadar tarif ini boleh diubah, sama ada dinaikkan atau diturunkan, bergantung kepada perkembangan hubungan antara kedua-dua negara kita,” katanya.
Ujarnya lagi, sebarang tindak balas dari Malaysia boleh meningkatkan kadar tarif sedia ada.
Beliau turut menyatakan, dasar tersebut penting bagi menangani isu ketidakseimbangan yang telah lama wujud.
“Jika atas apa-apa sebab sekalipun Malaysia memilih untuk menaikkan tarifnya, maka kadar kenaikan tersebut akan ditambah kepada tarif 25 peratus yang kami kenakan.
“Harap difahami tindakan ini perlu diambil sebagai langkah untuk membetulkan ketidakseimbangan hubungan perdagangan yang telah berlaku sekian lama disebabkan dasar-dasar perdagangan Malaysia yang tidak adil kepada kami.
“Defisit ini merupakan ancaman besar kepada ekonomi kami dan juga keselamatan negara kami,” ujarnya. – SINAR HARIAN