Tarif AS: Malaysia berisiko, namun masih ada ruang bertindak – BIMB Securities

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka berdepan cabaran ketara susulan langkah pentadbiran Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas pelbagai jenis eksport negara bermula 1 Ogos ini, namun masih memiliki ruang bertindak untuk meminimumkan impak ekonomi, menurut BIMB Securities Research.

Laporan yang bertajuk ‘Trump Tariff Madness: Implications for Malaysia and ASEAN’ itu menyatakan, walaupun ekonomi Malaysia semakin pelbagai, sektor luaran masih terdedah kepada kejutan perdagangan, terutamanya dalam barangan elektrik dan elektronik (E&E), produk getah dan kimia.

“Langkah tarif ini satu peningkatan daripada kadar 24 peratus yang diumumkan sebelum ini, dan memberi isyarat jelas bahawa pendekatan perlindungan perdagangan di bawah agenda ‘America First 2.0’ semakin agresif,” kata laporan itu.

Rundingan dua hala beri harapan

Bagaimanapun, menurut BIMB Securities, Malaysia masih berpeluang untuk merundingkan kadar efektif yang lebih rendah, seperti yang telah berjaya dicapai oleh Vietnam.

“Sekiranya rundingan dua hala membuahkan hasil, kadar tarif berkesan ke atas Malaysia boleh diturunkan di bawah paras 25 peratus, sekali gus mengurangkan impak ekonomi yang dijangkakan,” jelas laporan itu.

Risiko tidak langsung daripada BRICS

Selain risiko langsung, Malaysia turut terdedah kepada kesan tidak langsung akibat tarif tambahan yang dirancang AS ke atas negara-negara BRICS. Malaysia, yang kini merupakan negara rakan BRICS, mempunyai hubungan dagangan yang mendalam dengan China dan India, dua kuasa ekonomi utama dalam blok itu.

“Sebarang kelembapan ekonomi di China dan India boleh menjejaskan eksport Malaysia, khususnya dalam komoditi, E&E dan barangan pertengahan,” menurut laporan itu lagi.

Sokongan fiskal dalam RMK-13

Dalam menghadapi ketidaktentuan global, laporan itu menyarankan kerajaan menggunakan pendekatan dasar fiskal yang lebih tegas. Rancangan Malaysia ke-13 (MP13) dijangka menjadi pelan tindakan utama dengan pelaburan dalam infrastruktur awam, pengangkutan, dan daya tahan iklim sebagai pemacu pertumbuhan domestik.

“Langkah awal seperti menyegerakan perbelanjaan infrastruktur pada 2025 berperanan sebagai penstabil kitaran ekonomi dan mesej komitmen politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16,” tambah laporan itu.

Sektor yang paling dan kurang terjejas

Antara sektor yang paling terkesan termasuk E&E, sarung tangan getah, dan petrokimia, manakala sektor berorientasikan domestik seperti pembinaan, perkhidmatan pengguna, serta tenaga boleh baharu dijangka lebih kukuh dengan sokongan dasar kerajaan.

“Malaysia mungkin terdedah, tetapi tidak semestinya tidak berdaya. Strategi diplomatik yang jelas di peringkat global dan pendekatan fiskal berani di peringkat domestik akan menjadi kunci untuk mengharungi tempoh perdagangan yang tidak menentu ini,” kata laporan itu sebagai rumusan utama. – BH

More From Author

Majlis Raja-Raja dijangka umum pelantikan Ketua Hakim Negara hari ini

Trump turunkan tarif Indonesia kepada 19 peratus