Sudah sampai masanya Johor jadi ‘pemilik’ bukan sekadar ‘penyumbang’

  1. Patik merafak sembah dan menjunjung kasih atas ketegasan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang menyuarakan hak rakyat Johor untuk menerima semula pulangan sekurang-kurangnya 25% hasil cukai pendapatan yang dikutip dari negeri ini.
  2. Cukuplah Johor menjadi negeri penyumbang utama kepada ekonomi negara, namun terus terpinggir apabila berdepan masalah infrastruktur dan keperluan asas.
  3. Apakah wajar apabila hospital seperti di Pasir Gudang yang sudah siap dibina, masih perlu menunggu hampir setengah tahun hanya kerana kekangan kelulusan dan peruntukan Persekutuan?
  4. Apakah adil apabila sistem di pintu masuk utama negara seperti BSI dan KSAB terus gagal, hingga mencemarkan imej Johor di mata dunia?
  5. Kita sudah terlalu lama bersabar.
  6. Sebagai EXCO Kerajaan Negeri, saya menyokong penuh titah DYAM Pemangku Sultan Johor dan saya tegaskan bahawa pulangan 25% hasil cukai pendapatan Johor BUKAN LAGI PILIHAN, TETAPI KEWAJIPAN.
  7. Dengan hasil ini, Johor mampu berdiri atas kaki sendiri. Kita boleh percepatkan pembinaan infrastruktur, membaik pulih kemudahan asas, dan paling penting, memperkasa masa depan anak muda melalui pelaburan dalam fasiliti dan pembangunan sukan.
  8. Hari ini, banyak aset sukan di Johor memerlukan penaiktarafan. Kita perlukan lebih banyak kompleks sukan di daerah, kolam renang, gimnasium, velodrom, dan padang futsal tertutup. Kita mahu lahirkan atlet bertaraf dunia, bukan dengan angan-angan, tapi dengan pelaburan yang cukup dan tersusun.
  9. Bagaimanapun, semua ini sukar dicapai jika Johor terus dinilai hanya sebagai “penyumbang”, bukan sebagai “pemilik hak”.
  10. Saya bersama DYAM Pemangku Sultan Johor dan seluruh Bangsa Johor dalam tuntutan ini. Cukuplah Johor menunggu. Cukuplah Johor meminta-minta.
  11. Sudah tiba masa Johor mendapat haknya – 25% hasil cukai untuk Johor, demi Bangsa Johor!

MOHD HAIRI BIN MAD SHAH
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor
23 Julai 2025

More From Author

Nenek dipijak gajah depan pintu rumah

SPRM Sabah tahan 5 pegawai PBT terima rasuah kira-kira RM200,000 daripada kontraktor