Persoal solat lima waktu, pereka grafik didakwa buat hantaran jelik di X

KUALA LUMPUR: Seorang pereka grafik didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membuat hantaran jelik di akaun X miliknya yang menghina agama Islam dengan mempersoalkan amalan solat lima waktu, dua tahun lepas.

Bagaimanapun tertuduh, Yeo Lin Yi, 47, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Mengikut kertas pertuduhan, wanita itu didakwa telah membuat dan memulakan hantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan kenyataannya, ‘Solat banyak kali sehari, boleh tingkatkan produktiviti di tempat kerja? Kalau ya, bagus. Kalau tidak, mereka patut diberhentikan dan solat sepenuh masa di rumah’ pada 19 Jun 2023.

Hantaran itu dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain yang mana ia telah dilihat di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman pada 22 jun 2023.

Oleh itu, Lin Yi didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara yang boleh sampai setahun atau kedua-duanya dan hendaklah didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Faizah Khalilah Zaberi menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Rajsurian Pillai yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan rendah atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap selain menjaga ayahnya yang berusia 80 tahun.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 September ini untuk sebutan semula kes. – UTUSANTV

More From Author

16 pelajar cedera van sekolah terbalik langgar ‘manhole’

Nick Adams: Kerajaan akan buat pertimbangan sewajarnya – PM