Permohonan SPRM lucut hak RM169 juta milik Ismail Sabri didengar Oktober ini

KUALA LUMPUR: Permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melucut hak wang tunai lebih RM169 juta milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, akan didengar Mahkamah Sesyen pada 1 Oktober ini.

Hakim Suzana Hussin menetapkan tarikh pendengaran itu selepas peguam Datuk Amer Hamzah Arshad memaklumkan kepada mahkamah, pihaknya memerlukan masa untuk menyemak dan menjawab permohonan berkenaan.

Amer Hamzah mewakili Ismail Sabri dan bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus yang dinamakan selaku responden dalam permohonan melucut hak itu.

Mahkamah kemudian mengarahkan peguam memfailkan afidavit sebelum atau pada 13 Ogos, manakala pendakwaan memfailkan afidavit balasan sebelum atau pada 3 September ini.

Turut hadir pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Ifa Sirrhu Samsudin dan Alis Izzati Azurin Rusdi bagi pihak SPRM dan peguam Ragunath Kesavan yang turut mewakili Ismail Sabri serta Mohammad Anuar.

Pada 7 Julai lalu, SPRM memfailkan permohonan untuk melucut hak wang tunai berjumlah lebih RM169 juta dalam pelbagai mata wang tempatan dan asing milik Ismail Sabri.

Semua wang tunai yang dimohon untuk dilucutkan hak itu ialah RM14,772,150; SGD$6,132,350 (Dolar Singapura); AS$1,461,400 (Dolar Amerika) dan CHF 3 juta (Swiss Franc); €12,164,150 (Dolar Euro); ¥363,000,000 (Yen), £50,250 (Pound Sterling); NZ$44,600 (Dolar New Zealand); AED 34,750,000 (Emirati Dirham) dan AU$352,850 (Dolar Australia).

Menurut notis yang difailkan, permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta SPRM 2009 selepas SPRM berpuas hati bahawa wang yang disita dan disimpan oleh Mohammad Anuar adalah milik Ismail Sabri dan berkait dengan suatu kesalahan mengikut Seksyen 36(2) ASPRM 2009.

Seksyen 36(2) adalah berkaitan dengan kegagalan mematuhi notis yang dikeluarkan oleh SPRM untuk mengisytiharkan harta. SPRM turut memohon perintah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pada 25 Jun lalu, akhbar melaporkan semua aset termasuk wang tunai berjumlah RM170 juta dan 16 kilogram jongkong emas yang ditemui dalam ‘safehouse’ yang dikaitkan Ismail Sabri bakal dilucutkan hak. – BH

More From Author

Isu gaji punca 100 pemandu bas ulang-alik Singapura mogok

Sekolah laksana PdPR jika IPU lebih 200