Pengumuman PM satu kejutan, akan gembirakan rakyat – KSN

KUALA LUMPUR: “Ia kejutan tetapi akan menggembirakan rakyat. Kalau ia untuk penjawat awam, ia akan menggembirakan penjawat awam, Insya-Allah,”.

Itu jaminan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar ketika diminta mengulas poster yang dimuat naik di laman Facebook Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai penghargaan luar biasa untuk rakyat Malaysia.

Poster sama turut dimuat naik di laman rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Bagaimanapun Shamsul Azri enggan mengulas lanjut mengenainya.

“Saya bukan ‘magician’ (ahli silap mata). Tunggu, tunggu kerana ia surprise (kejutan). Ia berkunci penuh, tidak dapat dibuka,” katanya ringkas ketika ditemui media selepas merasmikan Persidangan Penyelidikan Tindakan Antarabangsa Ketiga Azman Hashim International Business School (AHIBS-ACT) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Intan Zaurah Mat Darus dan Pengerusi AHIBS-ACT, Prof Madya Dr Haliyana Khalid.

Bagaimanapun Shamsul Azri tidak memperincikan tarikh pengumuman dan meminta semua pihak memberi ruang kepada kerajaan mengumumkan perkara itu pada masa yang sesuai.

Menerusi satu hantaran di akaun media sosial Facebook semalam, Perdana Menteri memberi bayangan satu pengumuman penting dijangka akan dibuat sebagai ‘hadiah’ yang bakal diberikan kepada rakyat Malaysia.

Dalam hantaran ringkas itu, Anwar turut menyatakan kebersamaannya dengan orang ramai menerusi ‘Bersama Malaysiaku’ dalam kenyataan itu.

Namun begitu, tiada pemakluman secara terperinci mengenai pengumuman itu dan ramai menyatakan ia mungkin satu kejutan buat rakyat Malaysia.

Terdahulu semalam, Perdana Menteri dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) mengadakan perjumpaan tertutup bagi membincangkan beberapa isu termasuk persediaan parti untuk sidang Parlimen yang akan datang.

Pertemuan itu adalah kesinambungan sesi libat urus bersama Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang diadakan pada Jumaat. – BH

More From Author

Pemain 17 tahun lebur rekod JDT

Curi troli pasar raya, jual di kedai besi buruk