KUALA LUMPUR: Nilai sitaan aset dan akaun yang dibekukan susulan Op Metal yang membabitkan sindiket penyeludupan besi buruk serta e-waste di lima negeri kini mencecah lebih RM332 juta.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata selain pembekuan 324 akaun bank membabitkan 142 milik syarikat dan 182 milik individu dengan nilai hampir RM150 juta, SPRM turut menyiat aset bernilai kira-kira RM183 juta.
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Beliau berkata, SPRM bagaimanapun masih mengenal pasti suspek yang terbabit dengan sindiket itu yang menyebabkan kerajaan menanggung kerugian hasil cukai eksport lebih RM950 juta sejak enam tahun lalu.
Katanya, SPRM sedang meneliti sumber kewangan suspek serta syarikat yang disiasat menerusi kerjasama dengan agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).
“Selain siasatan di bawah Seksyen 16 dan 18 Akta SPRM 2009 serta di bawah kesalahan aktiviti pengubahan wang haram oleh SPRM, siasatan juga dilakukan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967, selain Akta Kastam 1967 oleh agensi-agensi yang terlibat dalam operasi ini,” katanya.
SPRM melalui Op Metal bermula 14 Julai lalu mendedahkan penyeludupan skrap logam menyebabkan kerugian hasil lebih RM950 juta kepada negara dalam tempoh enam tahun, atau purata RM160 juta setahun.
Sebahagian siasatan juga membabitkan serbuan ke atas premis anak syarikat milik penuh NationGate Holdings Bhd, NationGate Solution (M) Sdn Bhd.
Persatuan Keluli Malaysia (MSA) menyifatkan Op Metal digerakkan SPRM sebagai langkah penting dalam memulihkan integriti rantaian bekalan negara, memulihkan disiplin pasaran serta mengembalikan keyakinan pelaburan jangka panjang.
MSA menegaskan tindakan tegas perlu diambil bagi menyekat aliran keluar skrap logam secara haram kerana ia bukan sahaja mengganggu keupayaan industri, malah menjejaskan aspirasi iklim negara dan mengurangkan hasil cukai serta peluang pekerjaan bernilai tinggi.
Sementara itu, sumber berkata, SPRM sudah merakam keterangan 27 saksi susulan operasi terhadap sindiket penyeludupan besi buruk dan e-waste di lima negeri yang dipercayai membayar rasuah kepada penguat kuasa.
Kata sumber, salah seorang suspek dipercayai terbabit kegiatan ini juga sudah dirakam percakapan hari ini.
“Setakat ini tiada tangkapan dibuat,” katanya. – BH
