Kerja meroboh struktur haram tapak perniagaan Desa Pandan ikut prosedur – DBKL

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menegaskan proses pengosongan tapak perniagaan di kawasan Desa Pandan, dilakukan secara telus dan teratur mengikut prosedur sedia ada.

Dalam kenyataan hari ini, DBKL berkata, pelaksanaan projek itu juga sudah melalui beberapa proses termasuk mengadakan sesi libat urus dan penyampaian maklumat rasmi kepada semua pihak yang terbabit termasuklah persatuan peniaga dan peniaga.

“Sebagai tindakan susulan, lesen perniagaan bagi sembilan tapak sudah dibatalkan bermula 10 Januari lalu. Semua peniaga dimaklumkan secara rasmi pada 15 Januari lalu dan diminta mengosongkan tapak dalam tempoh yang ditetapkan.

“Pada 4 Julai lalu, DBKL mengeluarkan notis pengosongan tapak sebagai langkah akhir sebelum tindakan dijalankan. Kerja meroboh sepatutnya dilaksanakan pada semalam bagaimanapun terpaksa ditangguhkan ekoran kekecohan yang berlaku di tapak,” katanya hari ini.

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 50 saat memaparkan seorang lelaki memegang parang mengamuk dan memaki hamun anggota penguat kuasa DBKL sambil ditenangkan orang ramai yang berada di lokasi.

Susulan itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, pihaknya menahan seorang lelaki bersama sebilah parang panjang milik suspek di kawasan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, DBKL memaklumkan projek itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya demi keselesaan serta keselamatan warga kota dengan mempertingkatkan kemudahan infrastruktur dan kelancaran aliran trafik.

“DBKL yakin bahawa pelaksanaan projek ini akan memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk Desa Pandan dari segi peningkatan infrastruktur, keselamatan dan kemudahan awam.

“Kita akan kekal komited untuk terus melaksanakan pembangunan bandar secara inklusif dan bertanggungjawab demi kesejahteraan warga kota Kuala Lumpur,” katanya. – BH

More From Author

Harimau Malaya tarik diri Piala Negara-Negara CAFA 2025

Harga RON95 kekal, RON97 dan diesel naik tiga sen seliter