KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) meluluskan sebanyak 10,416 permohonan menjadi warganegara sehingga Jun lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata daripada jumlah itu sebanyak 70 peratus adalah permohonan daripada anak tidak sah taraf dan anak angkat.
“Ini memberikan kesan yang besar kepada kehidupan hari muka mereka berbanding kalau biarkan mereka menunggu sehingga lima, 10 atau 15 tahun.
“Ini saya fikir prinsip keadilan, kemanusiaan. Mengangkat harga diri dan kita sudah berikan harga diri,” ketika menggulung Laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) 2023 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Menyentuh mengenai Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), Saifuddin berkata pihaknya akan mengemukakan satu kertas dasar kepada Jemaah Menteri pada Ogos ini bagi mendapatkan pindaan terhadap akta berkenaan.
“Sekurang-kurangnya ada dua perkara yang kita akan beri perhatian termasuk Seksyen 13. Yang kedua, sekarang ni ada 73 kesalahan yang memungkinkan seseorang itu ditahan di bawah SOSMA.
“Setakat ini, kita kenal pasti sekurang-kurangnya 13 kesalahan yang akan kita keluarkan daripada jenis kesalahan yang membolehkan penggunaan SOSMA ke atasnya,” katanya.
Menjawab mengenai kesesakan penjara, Saifuddin berkata, ketika ini terdapat sebanyak 83,808 prospek dalam penjara.
“Berapa kapasiti kita? 76,311. Ada tak lebihan? Betul ada, saya tidak nafikan. Ada kesesakan,” katanya.
Saifuddin berkata sebanyak 30 peratus daripada kesesakan di penjara adalah akibat tahanan reman.
“Daripada 83,808 itu, sebanyak 65 hingga 70 peratus adalah kes terkait dadah antaranya memiliki dan memasuki dadah,” katanya.
Saifuddin turut menjawab mengenai isu Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang tidak diberikan akses ke depot Imigresen untuk menjalankan proses pengesahan bagi menentukan status pelarian seseorang tahanan.
Katanya, KDN hanya menerima satu permohonan daripada UNHCR masing-masing untuk tahun 2024 dan 2025.
“Polisi sekarang kita benarkan mereka melawat asal tulis hitam putih.
Oleh itu, kalau SUHAKAM menyebut tidak diberi akses, perkara itu tidak betul,” katanya. – BH
