JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri mencadangkan projek Rapid Transit Siytem 2 (RTS2) bagi menghubungkan Iskandar Puteri di bandar raya ini dan Tuas di Singapura.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, cadangan tersebut disampaikannya kepada Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong dalam pertemuan mereka di Singapura, hari ini.
Menurutnya, perkara tersebut juga telah diperkenankan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

“Pertemuan ini bukan sekadar simbol hubungan akrab dua negara berjiran, malah mencerminkan tekad bersama untuk membawa kerjasama Johor dan Singapura ke tahap lebih strategik dan holistik.
“Menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, saya telah mengutarakan cadangan strategik termasuk menghubungkan Tuas ke Iskandar Puteri melalui RTS2,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Dalam pertemuan selama sejam di The Istana, Onn Hafiz dan Lawrence Wong membincangkan pelbagai perkara berkenaan kerjasama Johor dan Singapura termasuk inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Saya berkongsi kemajuan pelaksanaan JS-SEZ termasuk penubuhan Invest Malaysia Facilitation Centre Johor (IMFC-J) yang kini menjadi pemudah cara utama pelaburan dan penyelarasan dasar.
“Sehingga kini, Johor telah menerima lebih 577 pertanyaan pelaburan dengan 70 pelabur menunjukkan minat serius termasuk 11 syarikat yang dirujuk terus oleh agensi pelaburan Singapura,” katanya.
Onn Hafiz berkata, Perdana Menteri Singapura itu turut berkongsi pandangan mengenai potensi kerjasama lebih luas merangkumi sektor tenaga, logistik serantau dan pengukuhan hubungan dua hala.
“Beliau hargai usaha berterusan Johor dalam memastikan pasaran buruh yang adil dan berdaya saing, di samping menyatakan keterbukaan untuk meneliti cadangan dikemuka secara konstruktif.
“Secara keseluruhan, perbincangan ini amat positif dan saya yakin pertemuan ini membuka lembaran baharu dalam hubungan antara Johor dan Singapura,” katanya.