KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, digesa mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri bagi membincangkan soal pelaksanaan tahanan dalam rumah terhadap Datuk Seri Najib Razak sebagaimana diperkenankan melalui Titah Adendum oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Desakan itu disuarakan oleh 145 Ketua UMNO Bahagian dari seluruh negara yang menghadiri perjumpaan khas di sini, malam tadi.
Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah, berkata pemimpin bahagian tidak akan berdiam diri sekiranya Titah Adendum itu tidak dilaksanakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya mewakili 145 Ketua UMNO Bahagian seluruh negara yang menghadiri perjumpaan tertutup ini, manakala 15 lagi tidak hadir.
“Perjumpaan khas ini diadakan atas semangat memperkukuhkan kerja untuk Presiden yang terdahulu, kini dan selamanya, termasuk usaha memastikan Titah Adendum itu dilaksanakan segera.
“Namun jika Titah Adendum itu tidak dilaksanakan oleh Perdana Menteri, kami tidak akan berdiam diri. Kami akan ‘menyeberangi jambatan’ apabila tiba masanya (we cross the bridge when we come to it),” katanya pada sidang media selepas Perjumpaan Khas Ketua-ketua UMNO Bahagian, di sini, malam tadi.
Antara yang hadir ialah Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Mohd Nazifuddin Najib; Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (Alor Setar); Datuk Suraya Yaacob (Pendang); Datuk Seri Jamil Khir Baharom (Jerai); Datuk Johan Abdul Aziz (Hulu Langat); dan Datuk Seri Ahmad Said (Kemaman).
Mengulas lanjut, Mohd Shafei menekankan bahawa fakta mengenai kewujudan titah itu sudah disahkan secara rasmi oleh Istana Pahang melalui surat bertarikh 4 Januari lalu, selain turut diputuskan sebagai sah oleh Mahkamah Rayuan pada 6 Januari 2025.
“Namun, amat mendukacitakan apabila titah itu disorok lebih setahun oleh bekas Peguam Negara, yang jelas menafikan prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan mencemarkan institusi diraja,” dakwanya.
Berikutan itu, katanya, Ketua-ketua UMNO Bahagian sebulat suara bersetuju mendesak kerajaan segera melaksanakan tiga keputusan utama dalam mempertahankan keadilan dan institusi diraja.
Beliau berkata, isu itu bukan sekadar membabitkan nasib seorang individu, sebaliknya membabitkan soal kedaulatan undang-undang dan penghormatan terhadap institusi diraja yang wajib dipertahankan.
Mohd Shafei sekali gus menzahirkan keyakinan bahawa Perdana Menteri akan mengambil tindakan sewajarnya dalam masa terdekat untuk menghormati Titah Adendum itu dan mengelakkan ketegangan politik.
Mengulas mengenai kenyataan Lim Lip Eng yang didakwa mempersendakan titah itu pula, Mohd Shafei berkata, ia hanya pandangan peribadi Ahli Parlimen Kepong itu dan tidak mencerminkan pendirian parti dalam Kerajaan Perpaduan.
“Kita mendesak kerajaan untuk mengambil tindakan segera… kalau boleh semalam,” katanya.
Sementara itu, Mohd Nazifuddin berterima kasih kepada semua Ketua UMNO Bahagian yang mendesak supaya Titah Adendum dilaksanakan.
“Ini membuktikan semangat solidariti dan usaha kita untuk memberi keadilan kepada Najib,” katanya. – BH
