KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menggantung persekolahan empat murid dan mengeluarkan surat amaran kepada 14 yang lain susulan terbabit dalam pergaduhan hingga tular di media sosial.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, melawat sekolah berkenaan pagi tadi bagi mendapatkan maklumat penuh kejadian.
“Kita tidak berkompromi dengan isu yang boleh menjejaskan keselamatan institusi pendidikan, susulan insiden pergaduhan di sebuah sekolah yang tular di laman sosial.
“Empat murid terbabit akan digantung sekolah, manakala 14 lagi diberi surat amaran.
“Tindakan tegas diambil selaras dengan prosedur disiplin yang ditetapkan oleh KPM,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, murid yang digantung persekolahan akan mengikuti program khidmat masyarakat kelolaan pejabat pendidikan daerah.
“Sesi kaunseling turut dilaksanakan sebagai intervensi untuk membimbing murid mengubah tingkah laku mereka menerusi penerapan nilai-nilai murni,” katanya.
Terdahulu, seorang pempengaruh memuat naik video pergaduhan membabitkan sekumpulan pelajar lelaki, dipercayai berlaku di tandas sekolah. – BH
