MUAR: Dua remaja termasuk seorang yang masih bawah umur diperintahkan ditahan reman selama tiga dan lima hari oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini kerana disyaki menyamun dan merogol seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Pagoh, Isnin lalu.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret, Fatin Dalilah Khalid terhadap kedua-dua suspek bermula hari ini.
Suspek berusia 19 tahun direman lima hari, manakala yang berusia 17 tahun selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 376 kanun sama.
Berdasarkan laporan, kejadian berlaku pada pukul 8.30 malam, 7 Julai lalu ketika mangsa yang berusia 20 tahun membonceng motosikal teman lelakinya berusia 23 tahun.
Ketika melalui Jalan Kampung Jawa, Panchor, mereka ditahan oleh kedua-dua suspek yang menaiki sebuah motosikal sebelum meminta menyerahkan wang tunai.
Suspek mengambil beg tangan mengandungi wang tunai RM250, namun memberitahu jumlah itu tidak mencukupi lalu salah seorang suspek menumbuk muka teman lelaki mangsa menyebabkannya terjatuh serta memintanya meninggalkan mangsa.
Kedua-dua suspek membawa mangsa menaiki sebuah motosikal menuju ke kebun sawit berdekatan lalu merogolnya.
Mangsa kemudian dihantar pulang oleh suspek ke kampus sebelum mangsa dan teman lelakinya membuat laporan di Balai Polis Panchor pada hari kejadian. – Majestic