KUALA LUMPUR: Aisha Retno mengakui masih trauma dengan insiden pembatalan konsert, tahun lalu, hingga dia berbelah bahagi menerima tawaran sama dengan mudah.
Tidak bercakap kosong, Aisha atau nama sebenar, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 25, berfikir panjang apabila ditawar LOL Asia mementaskan ‘showcase’ di Petaling Jaya, September depan.
“Ketika dapat tawaran daripada LOL Asia, saya ragu-ragu. Mampukah saya dalam aspek fizikal dan mental? Saya juga terkesan dengan insiden lalu apabbila konsert batal.
“Sampaikan, kalau ada soalan mengenai konsert dalam sesi temubual, saya teringat dan trauma. Namun, disebabkan saya sangat percaya dengan LOL Asia dan pasukan saya, akhirnya, saya bersetuju.
“Namun, saya ambil masa agak lama sebelum buat keputusan,” katanya pada sidang media pelancaran album berjudul Rehab dan pengumuman ‘showcase’, The AISHA Experience di sini, hari ini.
‘Showcase’ The AISHA Experience akan dipentaskan di JioSpace, Petaling Jaya, pada 20 September depan.
Ditanya apakah sumber kekuatan untcabaran mementaskan konsert kali ini, Aisha yang popular dengan lagu Sutera berkata, sokongan peminat dan keluarga menjadi pembakar semangat melawan trauma.
“Saya banyak dapat semangat dari keluarga, kawan-kawan dan media. Jadi, daripada situ saya fikir ramai sahaja yang menyokong saya.
“Memang saya terkesan dengan kata-kata netizen, tetapi, sampai bila? Jadi, lebih baik kita terus jalan sebab peminat sokong saya lebih lima tahun,” katanya.
Ditanya syarat yang diletakkan kepada penganjur sebagai langkah berjaga-jaga, penyanyi berdarah kacukan Melayu, Arab dan Jawa ini memberitahu, dia lebih selesa mengikut pepatah ‘ukur baju badan sendiri’.
“Syarat saya hanya mahu pentaskan konsert secara kecil-kecilan sahaja. Tidak mahu buat mega sebab saya tidak pernah terdetik hendak buat konsert.
“Tetapi. apabila dapat peluang menganjurkan konsert, mungkin rezeki daripada Allah. Saya pula hendak lancarkan album, jadi, alang-alang,kita buat ‘showcase’,” katanya.
Sebelum ini, Aisha terpalit kontroversi apabila Konsert Malam Sutera Aisha Retno yang sepatutnya berlangsung pada 16 November tahun lalu, dibatalkan penganjur, Kharisma Music International.
Laporan itu menyebut, penyanyi Yuka Kharisma selaku penaung syarikat berkenaan, mendakwa konsert itu dibatalkan atas faktor jualan tiket yang tidak memberangsangkan.
Yuka juga dilapor menuntut Aisha membayar semula wang sebanyak RM83,000 yang dipinjamkan bagi merealisasikan persembahan pada Anugerah Juar Lagu (AJL) Ke-38, Mac, tahun lalu.
Susulan pembatalan konsert, Aisha dilapor meluahkan rasa kesal dengan tindakan penganjur yang didakwa membuat keputusan mengejut tanpa memaklumkan kepadanya terlebih dahulu. – BH
