SEREMBAN: Hasil bedah siasat ke atas mayat kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang ditemukan meninggal dunia di Rompin di Jempol semalam mendapati punca kematian disebabkan tekanan di leher.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, dapatan berkenaan diperoleh melalui bedah siasat kira-kira empat jam bermula pukul 12 tengah hari tadi.
“Hasil bedah siasat ke atas si mati (kanak-kanak) mengesahkan punca kematian si mati adalah disebabkan oleh tekanan di leher iaitu akibat jerutan ‘Cable Tight’.
“Tekanan di leher boleh menyebabkan kematian. Setakat ini, kes ini disiasat di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Pakar patologis menganggarkan mangsa meninggal dunia pada 23 Julai di antara pukul 9 pagi hingga 11 pagi. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Sementara itu, mayat kanak-kanak malang berkenaan di bawa ke Johor dari Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau kira-kira pukul 4.26 petang tadi.
Ahli keluarga yang hadir terutamanya si ibu kelihatan begitu bersedih serta sentiasa ditemani oleh ahli keluarga yang lain.
Malah, difahamkan sejak kehilangan anak lelakinya itu, si ibu tidak makan serta sentiasa menangis.
Terdahulu, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dilaporkan hilang di Taman Bukit Indah, Johor Bahru, Khamis lalu ditemukan meninggal dunia di daerah Jempol. – KOSMO! ONLINE